Make your own free website on Tripod.com


Pindaan: Ibrahim Ali dicabar sertai ceramah

KOTA BHARU, 5 Julai (Hrkh) - Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Dato' Paduka Ibrahim Ali dicabar berceramah di pentas terbuka bersama tokoh dari PAS mengenai isu pindaan perlembagaan negeri.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abas berkata, beliau bersedia mewakili PAS untuk berceramah bersama Ibrahim bagi memperkatakan tentang isu berkenaan.
"Saya harap MTRK yang dipengerusikan bekas orang kanan Tengku Razaleigh Hamzah itu bersedia bagi memperjelaskan kedudukan sebenar mengenai isu tersebut dan bukan cuba mengelirukan rakyat," katanya di sini.

Sehubungan itu beliau akan menghantar surat kepada Ibrahim secepat mungkin untuk menyatakan hasrat tersebut. Katanya, segala persiapan ke arah mengadakan majlis ceramah bersama itu akan diuruskan pihaknya.

"Saya sangat mengenali Ketua Bahagian Pasir Mas itu kerana sebelum ini bersama-sama dalam Semangat 46 yang diketuai Ku Li. "Malah seluruh rakyat Kelantan juga kenal siapa Ibrahim yang mahu dikenali sebagai Adi Jagat, kononnya berjuang untuk rakyat," katanya.

Malam 2 Julai lalu, Ibrahim naik pentas bersama Ku Li bagi mempengaruhi rakyat Kelantan untuk menentang pindaan perlembagaan negeri yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri 25 Jun lalu.

Ibrahim kelihatan seperti orang hilang pertimbangan apabila ceramahnya mengutuk habis-habisan PAS dan Menteri Besar disampuk oleh orang ramai yang berada di luar padang. Malah, ramai yang berada di majlis itu menganggap ia sudah menjadi budaya Ibrahim sejak dahulu, tidak mencerminkan tokoh politik tulen.

Haji Abdul Razak berkata, usaha yang dilakukan Ibrahim dan Ku Li sebenarnya untuk mewujudkan satu gelombang baru dalam politik selepas kedua-dua tidak mendapat kepercayaan Presiden Umno.
Sebelum ini mereka sudah berganding dalam Semangat 46, malah Ibrahim memenangi kawasan parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum 1990 kerana bertanding di atas tiket parti itu.
Bagaimanapun selepas kemenangan itu, beliau melompat parti dan cuba bernaung di bawah Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad apabila melihat pengaruh Ku Li tidak seberapa.

Namun hari ini, mereka dipertautkan kembali kononnya untuk membela institusi raja-raja Melayu.
Haji Abdul Razak juga membidas bekas Adun Pergau, Aziz Derahid kononnya menganggap persidangan Dun Kelantan 25 Jun lalu tidak sah.

"Kita bersedia berdebat dengan peguam tersebut bagi menjelaskan keadaan sebenar dan bukannya cuba bersandiwara di sebalik peristiwa yang berlaku.
"Dia usah hendak berkokok di pentas dengan menyembunyikan fakta-fakta sebenar," katanya.
Menurut beliau, sekiranya tidak arif benar-benar mengenai undang-undang, usah hendaklah berlagak seperti hero pula.

Pada persidangan Dun 25 Jun lalu, Dun Kelantan meluluskan dengan sokongan penuh anggota Dewan terhadap enakmen mengenai pindaan perlembagaan negeri. Bagaimanapun dua Adun dari pembangkang iaitu Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohd Saufi Deraman (Galas) tidak hadir tanpa sebarang notis
.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan