Mingguan Melaka berdepan tindakan mahkamah?

KOTA BHARU, 4 Julai (Hrkh) - Kerajaan Melaka kemungkinan akan berdepan dengan risiko tindakan mahkamah ekoran menyiarkan berita memfitnah kerajaan Kelantan dan pemimpin-pemimpin PAS.
Sehubungan itu, persiapan ke arah tindakan saman sedang dijalankan pihak terbabit di negeri ini.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakri Harun berkata, berita dikeluarkan buletin rasmi kerajaan Melaka yang bertarikh 10 hingga 16 Jun 2001 jelas memfitnahkan kerajaan Kelantan.
"Ini sebenarnya sudah keluar dari konsep sebenarnya sebuah risalah yang berkonsep lidah rasmi bagi sesebuah kerajaan. "Tidak pernah berlaku lagi sebelum ini sebuah buletin rasmi milik kerajaan negeri memfitnah sebuah kerajaan negeri lain," katanya di sini.

Buletin rasmi kerajaan Melaka yang dikenali Mingguan Melaka yang bermoto 'Pengerak Minda' menjadikan tajuk 'Perampas Balak' sebagai tajuk utama buletin tersebut. Menurut buletin itu, beribu-ribu hektar kawasan balak di Kelatan kini diancam oleh kerakusan para pemimpin PAS yang sedang ghairah membahagi-bahagikan kawasan balak sesama mereka. Buletin tersebut dijual dengan harga RM1 difahamkan tidak memasuki pasaran terbuka seperti akhbar tabloid lain dan mempunyai juga segmen hiburan.

Anual berkata, buletin tersebut sepatutnya melihat identiti mereka terlebih dahulu kerana ia milik rasmi sebuah kerajaan negeri. Menurutnya, buletin rasmi milik kerajaan Kelantan yang kini dikenali sebagai Warkah Darulnaim tidak pernah menerbit berita seumpama itu dengan memfitnah sebuah kerajaan negeri lain.

"Ini adalah sesuatu yang cukup malang berlaku, dan sekiranya tindakan saman dikenakan mereka usah resah dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya," katanya. Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh gagal dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut.

Adalah difahamkan sebuah firman guaman di sini sudah dirujuk untuk mengendalikan kes berkenaan.
Sebelum ini, Harakahdaily 29 Jun lalu dipetik melaporkan bahagian pengurusan dan pengarang Mingguan Melaka mendapat kebenaran kerajaan Melaka menyiarkan berita berkenaan.
Menurut penulis berita tersebut, dia percaya berita yang disiarkan itu ada kebenarannya dan bukan cerita palsu. 

Sementara itu, pelbagai pihak di sini, menyokong penuh tindakan kerajaan negeri dan PAS menyaman Mingguan Melaka kerana jelas menyiarkan berita berunsur fitnah.

Seorang penduduk, Ismail Ali, 45 berkata, kerajaan Melaka sebelum ini dikenali ekstrem dalam banyak tindak tanduk mereka dan amat wajar sekali dikenakan tindakan mahkamah.

Beberapa tahun lalu, kerajaan Melaka di bawah Dato' Wira Mohamad Ali Rustam melarang kakitangannya melawat Kelantan dan Terengganu.
Bagaimanapun arahan itu tidak dipatuhi, malah rakyat Melaka terus berbodong-bodong melawat Kelantan dan Terengganu.

Polemik dicetus pihak pengendali Mingguan Melaka pula dijangka mengundang risiko baru yang akan memalukan kerajaan berkenaan.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan