Make your own free website on Tripod.com


Usaha ke arah 'Jelapang Makanan' sedang digiatkan
 
PASIR MAS,  - Hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan semakin membuah hasilnya, apabila tahap pengeluaran hasil pertanian semakin bertambah.
Misalnya pengeluaran padi meningkat kepada 258,150 tan metrik tahun lalu, berbanding 192,000 tan metrik pada 1990.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa, Haji Omar Muhamad berkata, usaha ke arah mencapai sasaran tersebut sedang giat dijalankan dengan kerjasama padu agensi-agensi pertanian.

"Tanah-tanah yang terbiar sebelum ini turut menjadi tumpuan kerajaan negeri untuk dipulih bagi ditanam dengan pelbagai aktiviti pertanian," katanya di majlis penyampaian bahan pertanian di sini, 27 Jun lalu.

Hadir sama di majlis itu, anggota parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh, Adun Tendong, Haji Wan Othman Wan Yusof dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Dato' Fuad Hassan.

Haji Omar berkata, hasil kesungguhan rakyat yang giat mengusahakan aktiviti pertanian, sehingga kini berjaya mengekalkan Kelantan sebagai negeri pertanian utama di negara ini.
Menurutnya, kerajaan negeri juga memberi perhatian untuk mewujudkan lebih banyak lagi ladang berkelompok bagi meningkatkan lagi pengeluaran hasil pertanian secara bersepadu.
Misalnya di jajahan Pasir Mas sehingga kini telah diwujudkan 79 perladangan kelompok yang mampu mengeluarkan hasil sebanyak RM56,000 sebulan.
"Perladangan kelompok ini diusahakan egensi pertanian yang diurusetia oleh Jabatan Pertanian," katanya.

Antara perladangan berkelompok yang diusahakan termasuk mengusahakan tanaman buah-buahan.
Bagi tanaman dokong diusahakan di Pasir Mas sehingga kini meningkat kepada 1,122 hektar. Manakala tanaman lain termasuk durian, duku, manggis dan sebagainya seluas 6,429 hektar


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan