Petani jayakan projek Jelapang Makanan


PERINGAT, 3 Okt - Hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara turut mendapat sokongan padu golongan petani. Mereka berusaha menjalankan aktiviti pertanian dengan mendapat sokongan padu agensi kerajaan negeri dan Pusat.

Selain itu, pejabat Adun turut mengembeling tenaga memberi sokongan melalui penghulu di setiap mukim untuk memastikan aktiviti yang dijalankan membuahkan hasilnya.

Misalnya, Pejabat Adun Melor, Kadok dan Ketereh bekerjasama menyediakan input pertanian dan sedikit bantuan modal bagi membiayai aktiviti yang dijalankan penduduk. 

Pengerusi Pertanian Berkelompok Ketereh, Arifin Mahmud berkata, petani di kawasan itu turut mendapat perhatian wakil rakyat untuk mendapatkan bantuan input pertanian seperti baja, benih dan racun.
Katanya, input tersebut diagih melalui egensi pertanian termasuk Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Seorang petani, Hamzah Draman, 50 berkata, pihaknya sentiasa mendapat kerjasama rapat dengan wakil rakyat untuk memajukan sektor pertanian.

Katanya, mereka sering datang ke kampung-kampung untuk melihat sendiri projek pertanian yang diusahakan penduduk.
"Bantuan dan tunjuk ajar yang diberi membolehkan petani dapat meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pertanian," tambahnya.

Tumpuan petani di kawasan itu termasuk tanaman sayur-sayuran, jagung, kacang, tebu dan buah-buahan.
Semalam (2 Oktober) Timbalan Pengerusi Pertanian, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Desa, Haji Buni Amin Hamzah melawat projek pertanian di tiga Dun berkenaan.

Beliau berkata, projek pertanian yang diusahakan penduduk di Melor, Kadok dan Ketereh berjaya meningkatkan pendapatan mereka sehingga ada di antaranya memperolehi RM1,500 sebulan.

"Sekiranya usaha tersebut dijalankan secara teratur dan sistematik, Isya Allah ia akan memberi pulangan baik kepada petani," katanya yang juga Adun Salor.

Beliau juga menasihatkan petani mematuhi setiap nasihat pegawai dari agensi pertanian untuk memastikan usaha yang dilakukan mendapat pulangan sebagaimana sepatutnya. 
.