Ladang hutan ditanam getah, kelapa sawit

KOTA BHARU, 5 Dis  - Kerajaan Kelantan memberi kelonggaran kepada pelabur-pelabur yang terbabit dengan projek ladang hutan untuk menanam spesis pokok boleh mendatangkan hasil dalam tempoh lebih singkat.

Sehubungan itu, kerajaan negeri menerima pakai makluman Majlis Perhutanan Negara dan Majlis Mineral Negara bagi tujuan itu.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Majlis Perhutanan Negara dalam edaran menyarankan tanah rezab yang diusahakan ladang hutan tidak boleh ditumpukan kepada sentang dan spesis-spesis kayu hutan sahaja.

"Pihak berkenaan menyarankan pokok jenis lain termasuk getah klon balak, kelapa sawit dan herba ditanam  kawasan tersebut sebagai sampingan.

"Begitu juga kita mengguna pakai mana-mana tanah yang banyak ditanam herba akan diwartakan sebagai kawasan industri herba," katanya selepas mesyuarat Exco, 5 Disember.

Katanya, dalam kajian yang dibuat, sekiranya sesuatu kawasan terdapat banyak mineral kerajaan akan mewartakan sebagai industri mineral.

"Di kawasan itu kita tidak akan benar dijalankan projek-projek lain termasuk perumahan dan sebagainya," ujarnya.
Ditanya pemberita mengenai masalah yang berbangkit sebelum ini beliau berkata, penanaman pokok jati mengambil masa yang panjang sehingga 50 tahun untuk matang. Begitu juga pokok sentang mengambil masa 20 hingga 30 tahun untuk dikeluarkan hasilnya.

Menurutnya juga, kerajaan negeri akan mengadakan perjumpaan dengan pelabur-pelabur terbabit untuk diberi taklimat mengenai perkara tersebut pada awal tahun depan.

"Kita jangka sambutannya bertambah hebat, memandangkan sebelum ini mereka sudah menyatakan minat untuk menanam tanaman sampingan lain seperti getah dan kelapa sawit," katanya.

Sehingga kini kerajaan negeri menerima permohonan daripada 40 syarikat untuk mengusahakan ladang hutan di kawasan seluas 40,469 hektar.

Sebelum ini Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pengusaha ladang hutan boleh menanam 30 peratus daripada keluasan tanah yang diluluskan, dengan tanaman lain seperti kelapa sawit atau buah-buahan selain dari getah klon balak.



Harakah