Keganasan Amerika: PM perlu nyatakan pendirian tegas

KOTA BHARU, 5 Dis  - Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad diminta menyatakan dengan tegas bahawa sokongan negara umat Islam terhadap serangan Amerika dan sekutunya ke atas bumi Afghanistan adalah haram atau sebaliknya.

Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ustaz Buniyamin Yaakub berkata, penegasan pemimpin negara terhadap perkara itu adalah perlu dan ia bukan sekadar fatwa atau resolusi semata-mata.

Katanya, perkara pokok adalah jelas haram bagi mana-mana pihak untuk menyokong serangan ganas Amerika dan sekutunya ke atas bumi umat Islam di Afghanistan.

"Oleh itu tidak timbul soal fatwa atau resolusi mengenai perkara tersebut," katanya di sini.

Presiden Umno 3 Disember lalu dilaporkan meminta, Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) tidak bersikap emosional dalam membuat ketetapan berhubung serangan ganas Amerika ke atas Afghanistan.

Baru-baru ini, ijtimak khas PUM dan Persatuan Ulamak Kedah membuat resolusi bahawa sebarang bentuk sokongan sama ada secara langsung atau tidak terhadap operasi ketenteraan Amerika di Afghanistan atau mana-mana negara Islam adalah haram.

Ustaz Buniyamin berkata, umat Islam perlu mengutuk sekeras-keras serangan ganas 'negara polis dunia' tersebut.
"Umat Islam adalah bersaudara tidak kira di mana mana sahaja mereka berada. Kita perlu sensitif terhadap perkara itu.
"Sekiranya ada pemimpin negara umat Islam cuba mempertikaikan resolusi tersebut adalah jelas tahap keimanan dan keilmuan agama begitu cetek," katanya.

Menurutnya, dalam soal tersebut tidak timbul lagi perkara itu dianggap sebagai resolusi atau fatwa kerana apa yang jelas adalah haram bagi orang Islam menyokong serangan ganas Amerika.

Beliau juga berkata, sebelum ini semua ulamak muktabar di seluruh dunia termasuk Sheikh Dr Yusof al Qardhawi sudah menyatakan adalah haram bagi mana-mana negara Islam menyokong serangan Amerika ke atas bumi Afghanistan.

Anggota Majlis, Majlis Perbandaran Kota Bharu, Shaari Mat Yaman berkata, isu fatwa sengaja direka cipta oleh akhbar berhubung resolusi yang dibuat PUM.

Katanya, apa yang jelas diputuskan oleh PUM adalah resolusi seperti yang dijelas sendiri Presidennya, Ustaz Ghani Shamsuddin dan ia berbeza dengan fatwa.

Akhbar melaporkan Ustaz Ghani dipetik sebagai berkata, segala resolusi yang dihasilkan ijtimak khas PUM mengenai isu Afghanistan bukanlah fatwa sebagaimana digembar-gemburkan akhbar.

Shaari juga berkata, beliau melihat Perdana Menteri begitu berhati-hati apabila timbul kritikan terhadap Amerika kerana dia lebih mengutamakan wang ringgit daripada maruah agama.

Katanya, pandangan sempit seorang pemimpin dalam soal tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana segala urusan manusia ditetapkan Allah dan bukan Amerika sebagai kuasa ekonomi sebenar.

"Bagaimanapun malangnya apa yang berlaku sekarang pemimpin negara lebih nampak keuntungan dunia semata-mata dan bukan keredhaan Allah di dunia dan akhirat," katanya.




Harakah