Perarakan patung burung: Jenayah rosakkan akal manusia

KOTA BHARU, 6 Apr  - Usaha Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang diketuai Ketua Umno Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali menganjurkan perarakan patung burung Petalawati dianggap sebagai satu jenayah merosakkan akal manusia.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik berkata, perkara seperti itu adalah dilarang oleh Islam kerana berunsur pemujaan dan khayal.

"Oleh itu saya nasihat rakyat Kelantan jangan melibatkan sama dengan perarakan tersebut yang boleh menimbulkan fitnah diri. "Saya tidak tahu siapa penganjurnya, pihak kerajaan negeri langsung tidak terlibat, kerana kita sudah memperuntuk duit, tenaga dan jentera kerajaan bagi menjayakan program keputeraan sultan.

"Saya melarang semua jabatan, agensi kerajaan, wang milik kerajaan negeri digunakan bagi tujuan perarakan tersebut.
"Saya juga tidak akan hadir pada jamuan rakyat pada malam 12 April ini yang dianjurkan pihak berkenaan," katanya pada sidang media di pejabatnya petang 3 April.

Baru-baru ini, Ketua Umno Bahagian Pasir Mas yang juga Pengerusi MTRK, Ibrahim Ali dilaporkan berkata, perarakan replika burung Petalawati serta persembahan artis termasuk Siti Nurhaliza dan Nora akan diadakan pada majlis Jamuan Rakyat sempena keputeraan Sultan Kelantan ke-52 di Istana Negeri, Kubang Kerian, 12 April ini.

Perarakan burung sepanjang 7.8 meter dan tinggi 3.6 meter akan dimulakan dari Tumpat dengan paluan alat muzik tradisional dijadikan acara pembuka Majlis Jamuan Rakyat. Perarakan tersebut dijangka bermula di Tumpat kira-kira jam 2 petang, 6 April dan akan melalui beberapa tempat termasuk Kampung Jubakar, Simpang Empat dan berakhir di Istana Negeri.

Orang kenamaan yang dijangka hadir pada majlis berkenaan di Istana Negeri, Kubang Kerian termasuk Sultan, Raja Perempuan, Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad yang dianugerah darjah tertinggi Sultan Kelantan, pegawai-pegawai kanan dan pemimpin-pemimpin Umno.

"Apa sahaja yang bercanggah dengan syariat Islam, kerajaan negeri larang rakyat terbabit. "Sebaliknya kerajaan Kelantan tidak pernah menghalang sesiapa pun yang hendak memeriahkan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, asalkan ia tidak bercanggah dengan syariat Islam dan dasar-dasar kerajaan yang ada sekarang," ujarnya.

Menteri Besar berkata, mengikut berita yang disiarkan akhbar perarakan besar-besaran akan dilakukan untuk memuja barang khayal dan dongeng. Katanya, Islam melarang umatnya memuja dan membesarkan selain daripada Allah.
Perkara-perkara khayal dan dongeng seperti burung Petalawati, Wak Long, Pak Dogol di dalam cetera wang kulit semuanya adalah khurafat.

"Kita tidak boleh mengisinya di dalam pemikiran kita dengan perkara seperti itu kerana ia menghinakan nikmat akal yang dikurniakan Allah," kata beliau.

Beliau juga difahamkan beberapa bentuk pemujaan dilakukan terhadap burung Petalawati oleh pihak-pihak yang bukan beragama Islam.

"Oleh yang demikian saya menasihatkan semua rakyat supaya mengelakkan diri daripada ditimpa murka Allah swt kerana menyertai perarakan khurafat dan syirik itu," katanya. Tambahan pula upacara kalungan bunga di Tugu Negara sudah pun dimansuhkan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, bumi Kelantan pada keseluruhannya telah berjaya dibersihkan daipada amalan-amalan khurafat dan syirik seperti wayang kulit, mak yong dan menora.

"Alhamdulillah. Bagaimanapun usaha pihak tertentu menganjurkan perarakan itu seperti mahu mengembalikan semula suatu jenayah aqidah yang telah berjaya dihapuskan,' ujarnya.

Firman Allah swt yang bermaksud ,"Dan jangan sekali-kali kamu melakukan kerosakan di muka bumi setelah diperbaikinya," - Surah Al Aaraf ayat 56.

Ditanyai penglibatan artis wanita di hotel-hotel bagi meraikan sambutan Hari Keputeraan, Menteri Besar berkata, tindakan termasuk terhadap pemilik hotel boleh dikenakan.

Menurutnya juga, kerajaan negeri memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang berumur di bawah 12 tahun sama ada lelaki atau perempuan terbabit dengan persembahan nyanyian kerana mereka belum nampak watak sebenar sehingga boleh menimbulkan ghairah manusia.

Menurutnya juga beliau tidak suka guna cara memaksa bagi menghalang perkara berunsur khurafat tersebut.
"Saya lebih suka menggunakan kaedah nasihat, bagi mencuit hati manusia dan mengeletek pemikiran mereka. Cara lisan lebih berkesan lagipun kaedah itu lebih disukai nabi-nabi untuk mengajar umatnya dengan cara nasihat berbanding undang-undang hanya bersifat fizikal sahaja.

"Polis boleh menahan fizikal manusia, tetapi tidak boleh membaiki hati manusia, apa yang boleh membaiki hati nurani manusia adalah Islam. "Saya berdoa bumi Kelantan tidak akan berlaku benda-benda kotor," katanya.

Ketika ditanyai mengenai cadangan supaya mendapat fatwa daripada Mufti beliau berkata, fatwa mengenai perkara itu memang telah ada. "Fatwa ini tidak boleh dibuat segera dan ia perlu dibuat melalui mesyuarat terlebih dahulu. Kalau hendak tunggu mesyuarat ia memang lambat," ujarnya.

Dua hari lepas (3 April), Menteri Besar menerima memorandum bantahan daripada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kelantan berhubung perarakan patung burung Petalawati dan persembahan artis wanita di Istana Kubang Kerian, 12 April ini.