Hak mutlak milik Palestin perlu dikembalikan

KOTA BHARU, 6 April - Konflik dan keganasan yang berlaku di Palestin sekarang tidak akan selesai, selagi hak mutlak milik umat Islam di negara berkenaan tidak diberi sepenuhnya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bumi yang diduduki penduduk Yahudi sekarang adalah hak orang Arab.

"Sebelum ini Palestin dibagi dua, di mana sebahagiannya diberi kepada pihak yang tidak berhak iaitu penduduk Yahudi dan sebahagian lagi dimiliki penduduk Palestin. "Amerika juga tahu Palestin kepunyaan orang Arab, tetapi mengapa pemimpin negara itu mahu mengiktiraf bumi Palestin dibagi dua.

"Kenapa Amerika sendiri tidak bagi buminya kepada Yahudi. Begitu juga Australia, Amerika Selatan dan Afrika yang mempunyai bumi luas, mengapa tidak bagi kepada Yahudi," katanya di sini.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan berkata, Amerika sebenarnya mempunyai niat jahat kepada umat Arab bagi membolehkan Yahudi menjadi pengacau di bumi milik penduduk Arab. Menurutnya, Amerika sentiasa mencari helah untuk mewujudkan perpecahan di kalangan negara Arab kerana kedegilan Yahudi.

"Di Kashmir wujud kacau bilau, dan begitu juga di Afghanistan. "Itu semua matlamat Amerika hendak memecah belah masyarakat Islam dan bukan hendak menyatukan mereka," tambahnya.

Beliau berkata, usaha untuk memecah belah adalah satu aktiviti disukai Amerika untuk menghidupkan ekonominya bagi memasarkan keluaran kilangnya terutamanya senjata.

"Hasratnya hendak menimbulkan kacau bilau, biar orang lain mati tak apa, asalkan rakyat Amerika dapat meneruskan kehidupan," katanya.

Konflik dan keganasan kini semakin bermaharajalela di Palestin, di mana tentera Yahudi mengganas dengan membunuh penduduk Islam tanpa perasaan kemanusiaan.

Malah, Yahudi sedang berusaha untuk menyingkirkan Presiden Yasser Arafat dari bumi Palestin dengan sokongan padu kuffar Amerika.