Ulama sependapat perarakan patung Petalawati khurafat

KOTA BHARU, 6 April - Ulama-ulama di sini sependapat dengan Menteri Besar yang mengatakan perarakan patung burung Petalawati sebagai jenayah merosakkan akal manusia.

Mereka berpendapat, perkara itu jelas mengandungi unsur-unsur syirik dan khurafat yang mesti dijauhi umat Islam.
Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Kelantan, Ustaz Mohd Hussin Nawi berkata, perarakan patung burung Petalawati menyerupai perayaan 'Bulan Safar' yang dilakukan orang Melayu zaman lampau. Katanya, terdapat elemen-elemen mempercayai patung burung Petalawati seolah-olah ada kuasa ajaib bagi melindungi pihak tertentu.

"Apakah motif sebenar pihak penganjur sehingga cuba menghidupkan kembali perkara-perkara lama yang sudah ditinggalkan umat Islam. "Kita tidak mahu prejudis terhadap mereka, namun berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang diterima jelas terdapat unsur-unsur khurafat dan syirik," katanya di sini.

Semalam, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik berkata, usaha pihak tertentu menganjurkan perarakan patung burung Petalawati dianggap sebagai satu jenayah merosakkan akal manusia. Menurutnya, perkara seperti itu adalah dilarang oleh Islam kerana berunsur pemujaan dan khayal. "Oleh itu saya nasihat rakyat Kelantan jangan terlibat sama dengan perarakan tersebut yang boleh menimbulkan fitnah diri," katanya.

Baru-baru ini, Ketua Umno Bahagian Pasir Mas yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Dato' Ibrahim Ali dilaporkan berkata, perarakan patung burung Petalawati serta persembahan artis termasuk Siti Nurhaliza dan Nora akan diadakan pada majlis Jamuan Rakyat sempena keputeraan Sultan Kelantan ke-52 di Istana Negeri, Kubang Kerian, 12 April ini.

Perarakan patung burung sepanjang 7.8 meter dan tinggi 3.6 meter akan dimulakan dari Tumpat dengan paluan alat muzik tradisional, dijadikan acara pembuka Majlis Jamuan Rakyat.

Guru agama, Ustaz Sahafudin Awang Mus berkata, gejala menghidupkan amalan khurafat tidak sepatutnya berlaku pada zaman sekarang. Katanya, penganjur sepatutnya merujuk terlebih dahulu kepada pihak yang arif di bidang agama, sama ada berbaul dengan unsur khurafat atau sebaliknya sebelum membuat keputusan mengenainya.

"Arahan yang dikeluarkan Menteri Besar supaya orang ramai tidak memberi sokongan terhadap perarakan patung burung Petalawati perlu dipatuhi, sekiranya tidak mahu terjebak dengan perbuatan syirik," katanya.

Ustaz Abdullah Wahab, seorang guru agama di Tumpat berkata, mengikut sejarah burung Petalawati dianggap mempunyai kuasa bagi mengawal alam buana. Katanya, penganut agama bukan Islam mempercayai kekuatan yang ada pada burung tersebut sehingga mereka memujanya.

"Difahamkan perarakan patung burung Petalawati pernah digunakan oleh raja-raja Melayu suatu ketika dahulu, semasa mahu berkhatam anak lelaki. "Amalan seperti itu sudah lama ditinggalkan masyarakat Melayu. "Bagaimanapun malangnya hari ini masih ada pihak cuba menghidupkan amalan khurafat dan syirik dengan berselindung di sebalik nama istana," katanya.

Adun Salor, Haji Buni Amin Hamzah berkata, perarakan burung Petalawati dan persembahan artis di Istana Negeri, Kubang Kerian jelas mengandungi mesej politik bagi mempersendakan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan ulama.
Katanya, MTRK yang dianggap sebagai penganjur program berkenaan adalah pertubuhan yang diwujudkan di kalangan pemimpin-pemimpin Umno, diketuai Ketua Umno Bahagian Pasir Mas.

Menurutnya, MTRK dan Umno mahu menghalalkan segala larangan kerajaan negeri seperti perarakan burung Petalawati dan persembahan artis wanita menggunakan nama istana.

"Mereka mengharap mendapat sokongan baru daripada istana untuk berdepan dengan PAS. "Bagaimanapun pemimpin Umno lupa, taktik yang dilakukan itu akan memberi kesan mendalam kepada Umno untuk terus ditolak rakyat kerana masih menghalalkan perkara-perkara khurafat dan syirik," katanya.

Seorang penduduk, Abdul Rahman Yaakub, 35 turut menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan tegas ke atas penganjur persembahan hiburan di Istana Negeri, Kubang Kerian dan perarakan patung burung Petalawati.
Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengenal bulu, biarpun ada pihak cuba berselindung di sebalik nama istana.

Beliau juga berkata, rakyat di negeri ini masih ingat seorang artis lelaki meninggal dunia, sebaik sahaja membuat persembahan pentas di sebuah hotel, beberapa tahun lalu.