TPM, Rais dianggap hina mahkamah

KOTA BHARU,  - Beberapa pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dianggap menghina mahkamah, apabila membuat kenyataan seolah-olah mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Rais Yatim tidak berhak membuat kenyataan terbuka mengenai keputusan yang dibuat Hakim Dato' Mohamed Hishamudin Mohamed Yunus.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, hakim terbabit menyatakan pandangan mengenai ISA adalah berdasarkan kepada hujah-hujah yang dikemukakan pihak pendakwa dan defendan.

Katanya, pemimpin BN tidak wajar cuba mempertikaikan pandangan dibuat hakim berkenaan.
"Sekiranya pandangan yang serupa diutarakan pemimpin Barisan Alternatif (BA) sudah tentu kerajaan akan menuduh menghina mahkamah.

"Bagaimanapun sekiranya pemimpin kerajaan BN sendiri yang bercakap perkara itu, ia seperti dihalalkan pula oleh undang-undang," katanya di sini.

Semalam, Dato' Seri Abdullah cuba mempertikaikan pandangan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang dilaporkan berkata, sudah tiba masanya parlimen menimbang semula sama ada ISA masih sesuai digunakan sekarang, setelah tidak ada lagi ancaman komunis.

Kenyataan itu dikeluarkan hakim berkenaan pada perbicaraan dua aktivis reformasi iaitu Abdul Ghani Harun dan N. Golabakrishnan yang dianggap ditahan secara tidak sah dan mengarahkan mereka dibebaskan.

Timbalan Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, Hakim Mohamed Hishamuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia bukan bidang tugas mahkamah.

Manakala Rais pula dipetik memberitahu, seseorang hakim hanya boleh mentafsir undang-undang dan tidak berhak mencadangkan agar sesuatu undang-undang itu perlu dipinda atau dimansuhkan.
Ustaz Wan Ismail berkata, apa yang dinyatakan oleh hakim berkenaan bukan berdasarkan kepada pandangan kosong semata-mata, sebaliknya merujuk kepada hujah-hujah yang diteliti sepanjang perbicaraan diadakan.

"Pandangan itu boleh dianggap sebagai kesimpulan terhadap kes yang dikendalikan di Shah Alam dengan memberi pandangan wajar untuk diberi perhatian pihak berkuasa.
"Sekiranya Dr Rais yang dipertanggungjawab terhadap hal ehwal mahkamah merasakan keputusan dan kenyataan hakim terbabit tidak betul, dia berhak untuk memanggilnya tanpa membuat kenyataan melalui media," tambahnya.

Menurut beliau, sekiranya dibiarkan kenyataan yang cuba mempertikaikan keputusan mahkamah, sudah tentu rasa hormat orang ramai terhadap institusi kehakiman akan  terjejas lebih teruk lagi.
Sehubungan itu, Ustaz Wan Ismail berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk membuat laporan polis berhubung kenyataan pemimpin-pemimpin terbabit, yang jelas cuba mempersendakan keputusan mahkamah.

Katanya, unsur-unsur ugutan orang politik terhadap institusi mahkamah perlu dihentikan, sekiranya kerajaan berminat untuk mengembali intergriti institusi kehakiman di negara ini.
Beliau turut melihat kenyataan berani hakim berkenaan amat tepat dalam situasi yang berlaku dalam negara sekarang, di mana kerajaan boleh melakukan apa sahaja untuk bertindak terhadap musuh politiknya tanpa membicarakan mereka.

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan