Make your own free website on Tripod.com


Penduduk Cina berhimpun bantah ISA

GUA MUSANG, 7 Jun - Penduduk berketurunan Cina di sini mengadakan perhimpunan secara aman sebagai membantah hukuman dua tahun terhadap empat aktivis reformasi di Kem Kemunting, yang disifatkan sebagai kezaliman semakin berleluasa.

Perhimpunan itu yang diadakan di Kampung Pulau yang didiami majoriti penduduk Cina, disertai lebih 30 penduduk kerana tidak senang dengan tindakan kerajaan mengekang kebangkitan rakyat dengan kekerasan.

Jurucakap kumpulan itu, Lim Ah Tian berkata, penduduk Cina di sini begitu terkilan dengan tindakan kerajaan yang menahan empat aktivitis reformasi tanpa sebarang perbicaraan.  
"Ini adalah sesuatu satu kezaliman yang amat nyata dilakukan kerajaan Barisan Nasional," katanya.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan empat aktivis reformasi termasuk Naib Presiden KeADILan, Tian Chua; Ketua Pemuda KeADILan Pusat, Ezzam Mohd Nor; aktivis Hishamuddin Rais dan bekas Yang Dipertua Jemaah Islah Pusat, Saari Sungit ditahankan selama dua tahun di Kem Tahanan Kemunting, Perak.

Mereka adalah di antara 10 aktivis reformasi yang ditahankan di bawah ISA kira-kira dua bulan lalu.
Bagaimanapun dua daripada mereka iaitu Gobalakrishnan dan Abdul Ghani Harun dibebas atas arahan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana pihak berkuasa menahan mereka dengan cara tidak sah di sisi undang-undang.

Lim berkata, kerajaan bertindak menahan empat aktivis itu kemungkinan kerana terlalu takut kepada kemampuan mereka untuk mengembelingkan kebangkitan rakyat. Menurutnya, penduduk Cina di kampung itu tidak mewakili mana-mana parti politik, sebaliknya berhimpun untuk menyatakan kebencian kapada undang-undang lama (ISA) yang tidak sepatutnya diguna lagi.

Katanya, ISA pada awalnya digunakan untuk membanteras pengganas komunis dan bukan menahan rakyat sesuka hati. "Pemerintah tidak seharusnya menggunakan akta tersebut untuk melindungi pemimpin yang sudah ditolak rakyat dengan pelbagai penyelewengan," tambahnya.

Sehubungan itu, mereka mendesak kerajaan BN memansuhkan ISA bersesuaian dengan semangat demokrasi yang dilaungkan di negara ini. Kata beliau, sepatutnya setiap pesalah yang ditangkap perlu dibicarakan dan bukan bertindak di luar perikemanusiaan.

Seorang lagi penduduk yang menyertai perhimpunan tersebut, Wee Ah Lim berkata, perhimpunan yang diadakan itu bukan ditaja mana-mana pihak, sebaliknya di atas kesedaran penduduk Cina yang simpati terhadap mangsa yang ditahan di bawah ISA. Katanya, mereka tidak ada hubungkait dengan pembangkang atau mana-mana parti yang memerintah.

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan