Analisa Berita: Mazlan Jusoh

Presiden Umno hampiri persimpangan

KOTA BHARU, 7 Jun (Hrkh) - Umno dan presidennya sekarang dibadai keresahan teramat sangat apabila Tun Daim Zainuddin meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan yang berkuatkuasa awal Jun lalu.

Perpecahan dalaman Umno tidak mampu lagi untuk disembunyikan, apabila kerentakan dalam barisan kepemimpinan parti itu timbul satu demi satu.
Sebelum ini, Adun Beserah, Dato' Fauzi Abdul Rahman mengumumkan mahu meletak jawatan sebagai wakil rakyat dan membuat laporan terhadap penyelewengan yang dilakukan bekas Menteri Besar Pahang, Dato' Khalil Yaakub.

Biarpun hasrat itu tidak berpenghujung sehingga kini, namun pergolakkan dalaman Umno tetap berlaku. Selepas itu, seorang anggota Exco kerajaan Kedah, Dato' Zainol Mohd Isa meletak jawatan sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, apabila disabit kesalahan politik wang semasa pemilihan bahagian Umno, baru-baru ini.

Manakala terbaru, Tun Daim sebelum ini diuar-uar begitu rapat dengan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan selepas bercuti sebagai anggota kabinet selama dua bulan.
Malah, Harakah pernah membuat analisa mengenai kedudukan Daim ketika itu, yang dijangka akan mengumumkan perletakkan jawatannya.

Terjahan itu akhirnya menjadi kenyataan dan membuah isu yang cukup ranum kepada akhbar-akhbar harian sejak seminggu dua ini. Dalam perkembangan terbaru, Daim bukan sahaja meletak jawatan sebagai anggota kabinet Dr Mahathir, malah dia meletak jawatan sebagai Bendahari Umno.
Situasi yang berlaku itu menyebabkan pelbagai andaian dibuat terhadap keadaan terkini dalam rumah tangga Umno, biar pun baru didodoi oleh Puteri Umno.

Tangan-tangan lembut Puteri Umno, yang turut diheret dari kelompok artis, rupanya tidak bisa mengubat dendam kesumat antara pemimpin tertinggi - semakin membarah. 
Ketiadaan Daim dalam kabinet menyebabkan Dr Mahathir mengambil langkah drastik, namun dianggap lapuk dengan mengumumkan dirinya sebagai pemangku jawatan Menteri Kewangan.

Pada 1997, Dr Mahathir juga bertindak hampir serupa dengan situasi yang berlaku sekarang, apabila dia mengambilalih jawatan Menteri Kewangan setelah menyingkirkan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun ketika itu, Dr Mahathir memecahkan jawatan Menteri Kewangan kepada dua iaitu Menteri Kewangan 1 dan Menteri Kewangan 2. Beliau sebagai Menteri Kewangan 1 dan Dato' Mustafa Mohamed dari Jeli, Kelantan sebagai Menteri Kewangan 2.

Ramai pemerhati politik berpendapat, Perdana Menteri begitu sukar untuk melantik Menteri Kewangan baru dari kalangan anggota-anggota parlimen Umno sekarang. Ini kerana sokongan orang politik terhadapnya boleh berubah dalam sekelip mata apabila dilihat kuasanya semakin hilang dan usia ketuaan tambah meningkat.

Begitu juga kemunculan semula Tengku Razaleigh Hamzah di pentas politik Umno, yang turut disebut untuk menggantikan Daim, sukar diputuskan memandangkan sejarah Ku Li semasa bersama Semangat 46. Ketika itu, Ku Li menghambur pelbagai kata nesta yang sukar dilupa, semata-mata berdendam ditewaskan Dr Mahathir untuk merebut jawatan Presiden Umno.

Biarpun ada teori politik yang melihat Ku Li berpeluang kembali semula ke Kementerian Kewangan, namun sumpah Ku Li menjadi gurkha profesional bakal memakan dirinya sendiri. Oleh itu, ramai menjangka Dr Mahathir akan melantik bukan anggota parlimen sebagai calon untuk menerajui Kementerian Kewangan.

Perkara seperti itu sebenarnya bukan idea baru bagi Perdana Menteri kerana sebelum ini dia pernah melantik Tan Sri Musa Mohamad sebagai Menteri Pendidikan, biarpun tokoh berkenaan tidak pernah bertanding pada pilihan raya.

Pelantikan itu dianggap sebagai jalan selamat bagi pemimpin tertua dalam kabinet BN tersebut, bagi mengelakkan unsur penderhakaan apabila taringnya bertambah patah. Biarpun tokoh korporat atau profesional dilantik sebagai Menteri Kewangan, namun orang yang bertanggungjawab penuh terhadap kementerian berkenaan adalah orang lain.

Menteri Kewangan baru akan dianggap tidak lebih sebagai boneka kepada pihak yang lebih berkuasa. Ketika itu segala urusniaga harta milik negara dapat diboloti mudah. Kroni dan anak-anak buah segar bugar kerana kata-kata Menteri Kewangan cukup berkeramat sehingga boleh mempengaruhi pasaran saham di BSKL.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan,  Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, pertembungan di antara Daim dan Dr Mahathir sebelum ini amat jelas sekali dalam banyak perhitungan mengenai kewangan dan dasar-dasar ekonomi kerajaan.

Katanya, pertembungan itu memaksa salah seorang di antara mereka berundur dan perkara yang serupa pernah berlaku pada 1997. "Pihak yang berundur bukan bermakna kalah, tetapi mengumpul ketahanan politik untuk menumbangkan seorang ahli politik yang paling berpengaruh di negara ini," katanya.

Pada 1997, pihak yang disingkirkan membentuk kekuatan dengan menubuh Parti KeADILan Nasional. Kini pihak yang menarik diri bakal mengumpul kekuatan dari sudut lain pula.
Sekarang kekuatan pihak disingkirkan sudah mampu membentuk gelombang baru dalam arena politik negara. Kerajaan BN amat takut sekali, kalau tidak masakan empat aktivis reformasi diISAkan sehingga dua tahun di Kem Tahanan Kemunting tanpa bicara.

Ramai pemerhati politik berpendapat, Daim tidak akan duduk diam. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi juga tidak senang dengan perkembangan yang berlaku kini. Pak Lah mungkin dilanda kemelut antara Mahathir dan Daim. Malah penganalisa melihat Pak Lah sedang mempertimbangkan kedudukannya sekarang.

Gelombang reformasi mungkin bakal diwarnai dengan perkembangan baru. Catatan tiga Timbalan Perdana Menteri dan seorang Bendahari Umno tersingkir di era kepemimpinan Dr Mahathir sudah cukup membuat beliau semakin tidak lena.

Tidak keterlaluan dikatakan, Presiden Umno yang mungkin lebih senang dikenali Presiden Malaysia! sedang tercari-cari untuk mendekati seseorang. Mungkin ketika itu, kebencian terhadap pemimpin ulamak akan berubah. Hanya ulamak dan ustaz sahaja yang tahu kerja-kerja 'akhir' bagi seseorang yang sedang berada di penghujung usia.  

Seorang peniaga, Musa Amin berkata, pada masa depan kemungkinan muncul lebih banyak lagi elemen-elemen yang boleh memeranjatkan Dr Mahathir dan Umno. Katanya, dijangka keadaan lebih parah lagi menjelang pilihan raya umum ke-11 nanti, apabila berlaku pertembungan hebat untuk menentukan calon dari Umno. Semua pemimpin dan ahli Umno mahu jadi calon.
Sekiranya tersingkir, mereka tentu menawarkan dividen percuma kepada kebangkitan Barisan Alternatif (BA).

"Pemimpin yang kelihatan tidak bertenaga sekarang juga mungkin akan bangkit kerana mereka bersiap membina team-team secara senyap untuk berdepan dengan kemungkinan disingkirkan oleh ketua parti pada masa akan datang.

"Apa yang berlaku terhadap Anwar Ibrahim tetap menjadi ingatan kepada pemimpin-pemimpin Umno, dan mereka sedang bersiap sedia, bukan untuk menanti masa dipecat tetapi memprotes presiden parti yang semakin hilang sokongan ketika itu," katanya.

Menurut Musa, pergolakkan yang membarah dalam Umno menyebabkan parti tunjang dalam BN itu, tidak mampu lagi untuk menerajui bahtera kerajaan BN.
Bahtera berlumut itu akhirnya akan tenggelam bersama nahkoda tua yang sudah kurang bermaya.
"Ketika itu, kemungkinan kerajaan baru akan dibentuk sekiranya gandingan mantap Barisan Alternatif dapat dipertahankan," tambahnya.

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan