Make your own free website on Tripod.com


Sidang pindaan: Tidak perlu perkenan sultan

KOTA BHARU, 18 Jun (Hrkh) - Pindaan perlembagaan negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) 25 Jun ini, membabitkan kuasa-kuasa raja boleh dibuat tanpa memerlukan perkenan sultan.  Perkara itu diakui Peguam Negara melalui suratnya yang bertarikh 5 Jun 2001 dan surat Penasihat Undang-Undang Negeri, Haji Jalaldin Hussin pada tarikh sama.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, berdasarkan kepada pandangan itu, kerajaan negeri membuat keputusan muktamad berhubung pindaan tersebut. Katanya, tarikh dan masa mesyuarat (persidangan Dewan Undangan Negeri) hanya ditentukan oleh Speaker.
Oleh itu, beliau berkata, sikap menangguh untuk mengadap sultan dibuat kerana sehingga kini keadaannya masih tidak mengizinkan.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Rais Yatim dilaporkan berkata, Menteri Besar Kelantan perlu mengemukakan dan memberi penjelasan kepada sultan mengenai butir-butir pindaan perlembagaan negeri yang menyentuh kedudukan sultan, sebelum dibentang pada persidangan Dun.  "Kelantan tidak melakukannya, awak seorang Tok Guru. Saya  menyeru supaya
Tok Guru (Nik Abdul Aziz) sebagai peradaban seorang Melayu apatah lagi sebagai pemimpin Melayu yang luhur dan menghormati institusi raja," katanya.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sememangnya telah membuat keputusan untuk mengadap sultan melalui sidang khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diadakan pada 12 Jun lalu.
"Seorang Exco kanan diputuskan untuk menguruskan usaha mengadap sultan untuk memberi penjelasan berhubung aspek pindaan ini," tambahnya. Menurut beliau, usaha ke arah pindaan tidak kecoh sebagaimana didakwa sesetengah pihak sekarang.

Katanya, apa yang kecoh sebenarnya berlaku pertembungan di antara Rais dan institusi kehakiman.
"Hanya pemimpin itu dan institusi kehakiman sahaja yang kecoh," ujarnya.

Baru-baru ini, Rais dilapor mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Mohamed Hishamudin Mohamed Yunus yang mencadangkan parlimen mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dianggapnya suatu yang luar biasa.

Rais dilaporkan memberitahu, seseorang hakim hanya boleh mentafsir undang-undang dan tidak berhak mencadangkan agar sesuatu undang-undang itu perlu dipinda atau dimansuh.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang membahasakan dirinya (Menteri Besar Kelantan) awak seorang Tok Guru sebagai melampau.
Katanya, bahasa digunakan seperti di kedai kopi, tidak wajar digunakan oleh seorang menteri.

Menyentuh lanjut mengenai pindaan, beliau berkata, usaha untuk mengadap sultan sedang dilakukan oleh seorang Exco kanan kerajaan negeri. Katanya, sekiranya sudah ada tarikhnya, semua Exco kerajaan negeri akan mengadap sultan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah berkata, perkara yang akan dipinda pada persidangan 25 Jun iaitu berkaitan Perkara 15 (1) dan 39 (2), Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan.

Katanya, masalah perkenaan sultan sebelum persidangan Dun ini berlangsung tidak berbangkit kerana pandangan dari Peguam Negara dan Penasihat Undang-Undang Negeri mengenai perkara tersebut adalah jelas.

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan