Make your own free website on Tripod.com


Perhimpunan Haram 25 Jun: Pemuda PAS Buat Laporan Polis

KOTA BHARU,  - Dewan Pemuda PAS Kelantan membuat laporan polis berhubung kenyataan beberapa pemimpin Umno yang mahu menganjurkan perhimpunan haram bagi membantah pindaan perlembagaan negeri pada 25 Jun ini.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Daerah Kota Bharu kira-kira jam 3.15 petang 18 Jun (Isnin) lalu oleh setiausahanya, Zaki Ibrahim. Turut hadir di Balai Polis semasa laporan berkenaan dibuat iaitu Exco Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Laporan polis dibuat berdasar kenyataan akhbar Ketua Bahagian Umno Pasir Mas, Dato' Paduka Ibrahim Ali dalam akhbar berbahasa Inggeris bertarikh 19 Mei lalu yang dipetik sebagai berkata, pihaknya mahu mengadakan perhimpunan haram pada 25 Jun ini. Perhimpunan itu difahamkan akan diadakan di bandar Kota Bharu yang akan bermula di perkarangan Hotel Sentosa, Jalan Sultan Ibrahim dan akan berarak ke Kota Darulnaim.

Zaki berkata, pada 16 Jun lalu, sekali lagi Ibrahim meminta orang ramai hadir pada perhimpunan haram tersebut berdasarkan ucapannya di perhimpunan membantah pindaan perlembagaan negeri yang diadakan di Dewan Perhimpunan Perempuan Kelantan (PPK).

"Saya difahamkan pada 25 Jun ini persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan akan berlangsung di Kota Darulnaim.
"Saya jangka perhimpunan haram tersebut bertujuan menggangu perjalanan persidangan dan juga menimbulkan huru hara," katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

Sehubungan itu, beliau berkata, laporan polis dibuat supaya pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya bagi membendung suatu perkara yang tidak diingini berlaku.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan mendedahkan satu perhimpunan haram dijangka diadakan di Kota Bharu sebagai membantah pindaan perlembagaan negeri yang dijadualkan pada 25 Jun ini.

Manakala beberapa penduduk yang tinggal di sekitar bandar ini juga memberitahu mereka didatangi penyokong Umno meminta hadir pada perhimpunan haram yang bakal diadakan itu.

Sementara itu, bekas Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah kini tampil untuk mempengaruhi rakyat mempertahankan perlembagaan Kelantan daripada dipinda.

Pada 16 Jun lalu, beliau berada di pentas yang dianjurkan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) untuk menggagalkan usaha kerajaan negeri melakukan pindaan terhadap perlembagaan negeri berhubung kuasa-kuasa raja. Tidak sampai 200 penyokong Umno hadir pada majlis berkenaan yang diadakan di Dewan PPK. Bahagian dewan depan kelihatan kosong dan tikar yang dihampar untuk memuat 2,000 orang ternyata tidak penuh.

Jurucakap MTRK, Wan Mohd Mokhtar Abdul Rahman menjangka seramai 2,000 orang hadir, namun tidak sampai 200 yang sanggup hadir di majlis yang dihadiri anak raja itu. Kebanyakan penyokong Umno yang hadir tidak mahu masuk ke dalam dewan, walau pun dipanggil berkali-kali Ku Li.
Dan mereka yang berada di dalam dewan pula hanya duduk tidak sampai setengah jam kemudian keluar dengan alasan 'panas'.

Hashim Mustapha, 40 seorang ahli Umno dari Tumpat berkata, beliau datang ke majlis itu bukan hendak mendengar Ku Li atau Ibrahim Ali berceramah, sebalik mahu melihat apa tindakan Umno mempertahankan institusi raja Melayu.

Katanya, Ku Li pernah menyatakan beliau akan menggunakan pengaruhnya menghimpun 10,000 rakyat Kelantan untuk mempertahankan perlembagaan negeri Kelantan agar tidak digugat Kerajaan PAS.

Ramli Ahmad, seorang kakitangan kerajaan berkata, rakyat sememangnya memerlukan sultan berdaulat, namun raja harus sedar setiap tindak tanduknya tidak boleh melampaui batas.
Katanya, seorang raja perlu mendengar nasihat Menteri Besar dan bukannya nasihat pihak lain.

"Saya juga melihat penglibatan Ku Li dalam isu mempertahankan perlembagaan Kelantan berkaitan kuasa-kuasa raja kerana hubungan peribadinya dengan institusi itu.
"Perjuangannya tidak akan sampai ke mana, kerana sebelum ini dia gagal dalam banyak tindakannya, termasuk untuk merampas Kelantan semasa diberi kuasa menerajui Umno Kelantan seketika sebelum ini," katanya.

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan