Make your own free website on Tripod.com


Menteri puji Dataran MPKB

KOTA BHARU, - Kewujudan Dataran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sebelum ini yang dikritik hebat oleh segelintir pihak termasuk Umno, kini diakui sendiri bermanfaat oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Dato' Kadir Sheikh Fadzir berkata, Dataran MPKB cukup baik dan belum ada dataran seumpama itu di negeri-negeri lain di negara ini. "Dataran ini cukup bermanfaat sebagai tempat kunjungan pelancong tempatan dan luar negara," katanya selepas meninjau kawasan bandar di sini, 17 Jun lalu. Pada kunjungan itu, beliau ditemani anggota Exco, Haji Anuar Tan Abdullah dan Yang Dipertua MPKB, Haji Ramli Abu Bakar. Oleh itu, beliau berharap MPKB mempersiapkan sepenuhnya Dataran MPKB dengan pelbagai kemudahan.

Bagaimanapun menurutnya, kesungguhan kerajaan negeri memanfaatkan dataran tersebut sudah terbukti sebelum ini, di mana ia dijadikan tempat solat Tarawih sempena kedatangan bulan Ramadhan. MPKB menyediakan tempat khas di dataran tersebut ketika bulan Ramadhan untuk orang ramai yang datang ke pusat bandar menunaikan solat Tarawih.

Selain itu, dataran berkenaan juga dijadikan sebagai pusat untuk melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk pameran bermacam jenis produk oleh syarikat swasta, kempen menderma darah dan ceramah motivasi di kalangan remaja.

Dato' Kadir juga berkata, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan meluluskan peruntukan sebanyak RM8.4 juta kepada kerajaan Kelantan bagi memperbesar dan  mencantikkan Pasar Besar Siti Khatijah memandangkan ia menjadi tempat tumpuan pelancong.

"Pasar Situ Khatijah tempat kunjungan pelancong terutamanya tempatan untuk membeli belah pelbagai jenis barangan termasuk batik dan kraftangan," tambahnya. Peruntukan yang dilulus itu untuk membina bangunan baru bersebelahan pasar yang sedia ada bagi mengasingkan tempat menjual ikan dan bahan-bahan kering.

Bangunan baru yang dijangka dibina tidak lama lagi itu akan menempatkan barangan jenis basah dan pasar lama mengekalkan tempat jualan barangan kering.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan berkata, pengunjung yang datang ke Pasar Besar Siti Khatijah juga berpeluang membeli hasil petani. "Pembinaan bangunan baru tersebut akan mencantikkan lagi keadaan Pasar Besar Siti Khatijah dan akan kelihatan lebih teratur dan cantik," ujarnya.

Selain itu, Kementerian Pelancongan juga melulus peruntukan sebanyak RM2 juta  bagi memperbesarkan kawasan kedai bebas cukai di Pengkalan Kubur, Tumpat. Katanya, kawasan tumpuan membeli belah itu perlu dipasang lampu bagi mewujudkan suasana karnival terutamanya pada setiap kali musim jualan mega diadak
an.

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan