Make your own free website on Tripod.com


Mata wang dinar perlu diperluas

PENGKALAN CHEPA, -  Penggunaan mata wang Islam iaitu dinar perlu diperluaskan di peringkat antarabangsa bagi mengatasi masalah penurunan mata wang konvensional yang berlaku sekarang.

Anggota Parlimen Kubang Kerian, Haji Husam Musa berkata, mata wang Islam berkenaan hendaklah diiktirafkan dunia, agar ia dapat digunakan di peringkat antarabangsa bagi menyaingi Dollar.
"Dollar serta mata wang lain boleh digunakan di negara masing-masing, kecuali mata wang Islam perlu dijadikan mata wang peringkat antarabangsa.

"Sekarang penduduk dunia menghadapi masalah setiap kali ke luar negara terpaksa ditukarkan terlebih dahulu dengan mata wang Amerika, sedangkan pasaran mata wang negara berkenaan juga tidak menentu," ujarnya pada Seminar Isu-isu Semasa (Ekonomi), anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri, di Perdana Resort, dekat sini 16 Jun lalu.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman, manakala perasmian penutupnya oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Haji Husam berkata, keadaan tidak menentu berlaku akibat permintaan serta pasaran antarabangsa yang tinggi. Dalam majlis itu juga, beliau berharap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz bertemu serta berbincang dengan pengilang-pengilang di negeri ini yang menghadapi masalah, ekoran kelembapan ekonomi.

"Walaupun masyarakat sedar penutupan kilang akibat kelembapan ekonomi yang melanda dunia, namun sebagai seorang menteri, dia hendaklah hendaklah peka masalah rakyat.
Jelasnya, seumpama seorang pesakit kronik hendaklah dirawat oleh doktor pakar agar penyakit yang dialami dapat diubati.

"Begitulah hakikatnya, sekali pun masalah ini berlaku di Kelantan, namun usaha perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan pengusaha kilang hendaklah diadakan," ujarnya.

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan