Tomahan negetif Umno punca bukan Islam jadi keliru

PASIR PUTEH, 6 Mac - Peranan yang dimainkan Umno dengan melemparkan pelbagai tomahan negetif terhadap Islam dianggap menjadi salah satu faktur orang bukan Islam masih keliru mengenai agama tersebut.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kekeliruan di kalangan orang bukan Islam terhadap agama itu masih berterusan kerana pemimpin Umno sering melemparkan pelbagai tomahan negetif terhadap Islam dan perjuangannya.
"Pemimpin Umno sering melabelkan Islam sebagai militan, pecah belah masyarakat dan ganas sehingga menakutkan orang bukan Islam.

"Usaha yang dilakukan Umno itu telah mengelirukan orang bukan Islam terhadap agama Islam," katanya pada ceramah di Balai Islam Limbongan, malam 5 Mac lalu.

Ceramah berkenaan diadakan bagi memungut derma untuk membantu sebuah sekolah tahfiz yang terbakar di Kampung Wakaf, baru-baru ini.

Hadir sama, anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah dan Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, usaha-usaha yang dilakukan Umno ternyata memberi kesan kepada orang bukan Islam sehingga mereka masih keliru mengenai agama Islam sebenarnya.

Beliau berkata, perkara seperti itu amat malang sekali kerana mereka yang terbabit melemparkan pelbagai tuduhan negetif terhadap Islam adalah kalangan orang Islam sendiri.

"Kalau orang Cina, orang Inggeris beranggapan negetif terhadap Islam ia boleh diterima kerana mereka belum faham mengenai Islam.

"Bagaimanapun sekiranya orang Islam sendiri (Umno) melemparkan tuduhan negetif terhadap Islam dan perjuangannya, ia adalah sesuatu yang cukup malang," ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Umno juga pernah meminta diharamkan penggunaan perkataan Islam pada nama pertubuhan dan menganggap masyarakat majmuk menjadi punca Islam tidak dapat dilaksanakan di negara ini.

Katanya, apa yang dilakukan Umno itu menggambarkan pemimpin parti tersebut begitu takut sekiranya rakyat di negara ini lebih faham mengenai Islam.

Menurutnya, apabila rakyat faham, Umno tentunya menghadapi masalah besar untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau juga berkata, perjuangan PAS diibarat seperti gula yang sering dicari oleh semut biarpun di mana sahaja berada.

"Setiap kali diadakan ceramah, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat tetap datang, biarpun sering kali dihalang dan disekat.
"Mereka tidak serik untuk datang kerana tahu akan mendapat pahala apabila mendengar pelbagai kisah menarik mengenai sejarah Islam dan usaha untuk mendaulatkan Islam di negara ini," tambahnya.

Pada majlis yang sama beliau mempersoalkan keikhlasan Umno untuk menubuh Majlis Perundingan Ulama Negara kerana usul mengenai perkara itu datang dari mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan bukannya ulama sendiri.


PAS tetap bela pasukan polis

PASIR PUTEH, 6 Mac (Hrkh) - PAS tetap memperjuangkan status lebih baik bagi setiap anggota polis di negara ini, biarpun dalam masa yang sama mereka sering dipergunakan Umno untuk menghalang kegiatan PAS.
Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, anggota-anggota Parlimen PAS sering membangkitkan perkara itu bagi membela pasukan polis.
"Wakil rakyat PAS sering berhujah supaya kerajaan menaikkan gaji anggota polis dan mendapat pelbagai kemudahan lain.
"Anggota Parlimen Kuala Kedah, Haji Mohamad Sabu juga sering membangkitkan perkara itu di Parlimen, semata-mata untuk membela nasib mereka ke arah lebih baik.
"Anggota Parlimen berkenaan tetap bercakap mengenai perkara itu biarpun dalam masa yang sama sering ditahan polis ketika menghadiri ceramah politik," katanya pada ceramah di Balai Islam Limbongan di sini, malam 5 Mac lalu.
Menurutnya, sejak dipilih sebagai anggota Parlimen bagi mewakili kawasan Pengkalan Chepa tujuh tahun lalu, beliau jarang melihat ada wakil rakyat Barisan Nasional bercakap membela pasukan polis.
Beliau berkata, PAS tidak pernah bermusuh dengan pasukan polis kerana faham mereka melaksanakan tugas di atas arahan pemimpin politik (Umno).
"Kita tidak pernah bermusuh dengan pasukan polis kerana kita tahu sekiranya berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan nanti, anggota polis yang sama juga akan digunakan.
"Mereka juga akan digunakan untuk menahan mana-mana pemimpin Umno yang didapati bersalah," katanya.
Ustaz Mohd Amar juga mengingatkan rakyat di negara ini lebih berhati-hati ketika hendak memilih seseorang pemimpin kerana ia akan turut dipertanggungjawab di akhirat kelak.
Katanya, pemimpin yang boleh dipilih hendaklah memenuhi syarat mampu menjadi imam sembahyang dan bukannya mereka jarang datang ke masjid.