PAS tetap bela pasukan polis

PASIR PUTEH, 6 Mac  - PAS tetap memperjuangkan status lebih baik bagi setiap anggota polis di negara ini, biarpun dalam masa yang sama mereka sering dipergunakan Umno untuk menghalang kegiatan PAS.

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, anggota-anggota Parlimen PAS sering membangkitkan perkara itu bagi membela pasukan polis.

"Wakil rakyat PAS sering berhujah supaya kerajaan menaikkan gaji anggota polis dan mendapat pelbagai kemudahan lain.

"Anggota Parlimen Kuala Kedah, Haji Mohamad Sabu juga sering membangkitkan perkara itu di Parlimen, semata-mata untuk membela nasib mereka ke arah lebih baik.

"Anggota Parlimen berkenaan tetap bercakap mengenai perkara itu biarpun dalam masa yang sama sering ditahan polis ketika menghadiri ceramah politik," katanya pada ceramah di Balai Islam Limbongan di sini, malam 5 Mac lalu.

Menurutnya, sejak dipilih sebagai anggota Parlimen bagi mewakili kawasan Pengkalan Chepa tujuh tahun lalu, beliau jarang melihat ada wakil rakyat Barisan Nasional bercakap membela pasukan polis.

Beliau berkata, PAS tidak pernah bermusuh dengan pasukan polis kerana faham mereka melaksanakan tugas di atas arahan pemimpin politik (Umno).

"Kita tidak pernah bermusuh dengan pasukan polis kerana kita tahu sekiranya berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan nanti, anggota polis yang sama juga akan digunakan.

"Mereka juga akan digunakan untuk menahan mana-mana pemimpin Umno yang didapati bersalah," katanya.

Ustaz Mohd Amar juga mengingatkan rakyat di negara ini lebih berhati-hati ketika hendak memilih seseorang pemimpin kerana ia akan turut dipertanggungjawab di akhirat kelak.

Katanya, pemimpin yang boleh dipilih hendaklah memenuhi syarat mampu menjadi imam sembahyang dan bukannya mereka jarang datang ke masjid.