Gagal tangani isu jenayah
PAK LAH DIMINTA LETAK JAWATAN

KUALA KRAI, 8 Mac - Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sepatutnya melepaskan jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri kerana gagal menangani isu tahanan lari dari lokap yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Malah, pemimpin Timbalan Presiden Umno itu perlu meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri memandangkan ketidakmampuan memikul tanggungjawab menjaga keselamatan negara.

Pegawai Penerangan, Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ustaz Buniyamin Yaakub berkata, kegagalan Abdullah melaksanakan tanggungjawab itu sudah banyak terbukti sekarang.

"Bagaimana dia hendak diberi jawatan lebih tinggi termasuk Perdana Menteri, sekiranya dengan jawatan sekarang pun pelbagai masalah tidak mampu ditanganinya," katanya pada ceramah di Markaz PAS Sungai Durian di sini, malam 7 Mac.
Hadir sama, anggota jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Ibrahim Mahmood dan Adun Guchil, Ustaz Zulkefli Yaakob.

Ustaz Buniyamin berkata, Abdullah yang melahirkan rasa malu di atas insiden tahanan lari dari lokap, sepatutnya meletak jawatan bagi memberi peluang kepada mereka lebih berkemampuan menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Insiden tahanan lari lokap polis dan Pusat Serenti semakin menjadi-jadi sekarang sehingga menjatuhkan imej negara ini.
Baru-baru ini, dua tahanan yang disyaki terbabit dalam kejadian merompak bas Airport Coach dilaporkan berjaya melarikan diri dari lokap Ibu Pejabat Polis Selangor. Sebelum itu, 11 tahanan berjaya melarikan diri dari lokap polis di Kota Tinggi.

Selain itu, ramai tahanan bangsa Afrika yang sedang dibawa ke depoh tahanan Imigresen di Pahang berjaya melarikan diri dari trak polis yang membawa mereka.

Ustaz Buniyamin yang juga bekas anggota parlimen Bachok berkata, Abdullah perlu meletak jawatan bagi memulih semula imej jabatan polis yang sudah tercemar dengan banyak insiden melarikan diri dari lokap.

Beliau juga melihat keadaan seperti itu berlaku disebabkan polis diarah pemimpin politik mengetatkan kawalan ceramah-ceramah anjuran PAS sehingga mengabaikan tanggungjawab sebenar menjaga penjenayah.

"Kalau pemimpin ini dilantik menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang, sudah tentu lebih banyak lagi masalah tidak mampu diselesainya," katanya.

Beliau juga menyokong penuh gelaran diberi Presiden PAS, Dato' Haji Mohd Fadzil Mohd Noor terhadap Umno yang dianggap sama dengan Komunis dan Yahudi.

Katanya, apabila pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan mempersendakan soal pahala dan dosa, ia sudah cukup mengambarkan perbuatan mereka sama dengan Komunis yang tidak percaya kepada agama.

Malah menurutnya, pemimpin Umno pernah melabelkan PAS suatu ketika dahulu iaitu lebih teruk daripada Komunis.
"Pemimpin PAS hanya sebut sama dengan Komunis, tetapi Umno melabelkan PAS lebih teruk dari Komunis," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Hatta berkata, pasukan polis negara ini hanya kelihatan berkemampuan bila berdepan dengan program-program ceramah anjuran PAS, berbanding tugas sebenar mengawal keselamatan negara.

Katanya, sepatutnya polis memberi tumpuan menjaga keselamatan negara bagi mengatasi banyak kes penjenayah yang ditahan berjaya melarikan diri dari lokap.

"Soal keselamatan negara diabaikan sehingga Singapura menambak lautnya menghampiran negara ini, dibiarkan begitu sahaja.

"Begitu juga tahanan Indonesia dan Afrika merusuh dan lari dari tahanan tidak mampu ditanganinya," ujarnya.