Buat patung serupa makhluk khurafat - Mufti

KOTA BHARU, 8 April- Mufti Kerajaan Kelantan, Dato' Hasbullah Mohd Hassan menjelaskan usaha untuk membina (membuat) patung dan gambar yang menyerupai makhluk bernyawa adalah khurafat dan dosa besar. Katanya, sebahagian ulama berpendapat adalah haram dan berdosa besar melakukan usaha itu kerana ia menyerupai makhluk bernyawa.

"Sekiranya patung yang dibina sempurna segala sifatnya maka ia adalah jelas haram. "Bagaimanapun patung burung Petalawati yang dihebuh-hebuh sekarang saya belum lagi melihatnya keadaannya," katanya ketika dihubungi di sini.

Patung burung Petalawati yang berukuran 7.8 meter panjang dan 3.6 meter tinggi dikatakan dipersembah kepada Sultan Kelantan sempena ulangtahun keputeraan baginda, ke-52. Patung itu adalah buah tangan daripada Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK). Patung berkenaan dibina di sebuah bengkel tempat membuat batik bermula kira-kira tiga bulan lalu, oleh tukang yang diimport dari Pattani, Selatan Thailand.

Menurut penduduk, daun getah yang digunakan sebagai bulu patung Petalawati diimport dari Thailand dengan harga 11 sen sehelai. Kos patung itu difahamkan sebanyak RM35,000. Kerangkanya dibuat daripada besi, buluh dan kayu berukiran. Patung tersebut diarak daripada bengkelnya di Geting, Tumpat 6 April lalu bermula jam 3.30 petang melalui Pasir Mas, Salor, Pasir Hor dan berakhir di Istana Negeri di Kubang Kerian, kira-kira jam 1 pagi. Jarak perjalanan ke Istana Kubang Kerian sejauh 60.5 kilometer berlaku kesesakan teruk, memandangkan kenderaan milik Kada yang membawanya terpaksa berjalan perlahan.

Perarakan itu bermula dengan persembahan alat permainan tradisional Kelantan, iaitu kertuk. Difahamkan permainan Puteri (puja semangat) dan silat diadakan sebelum ini. Turut kelihatan di tempat perlepasan patung tersebut iaitu orang kanan Ketua Bahagian Umno Pasir Mas, Mohamad Yaman, Kassim Mohamad dan peguam MTRK, Aziz Derashid.

Dato' Hasbullah berkata, terdapat Hadis sahih yang melarang keras kerja-kerja membina patung dan gambar menyerupai makhluk bernyawa. Antara Hadisnya berbunyi, 'Sesungguhnya seteruk azab di akhirat kelak ialah pelukis gambar, pembuat patung sama ada bagi tujuan disembah, dipuja atau meraikan termasuk perarakan'.

Sebuah lagi Hadis bermaksud, 'Pembuat patung itu akan diberati (diminta) supaya meniupkan rohnya (terhadap patung dibuatnya) di akhirat kelak'.

"Sepatutnya pihak terbabit merujuk terlebih dahulu kepada orang yang arif mengenai agama bagi mendapat pandangan.
"Setakat ini saya belum menerima sebarang permintaan daripada pihak penganjur untuk mendapat pandangan berkaitan patung burung itu," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, Menteri Besar sudah meminta pandangannya berkaitan fatwa mengenai patung berkenaan, baru-baru ini. Kata, beliau bersetuju dengan pendapat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengatakan membuat dan mengadakan perarakan patung burung tersebut adalah khurafat dan dosa besar.
"Saya sependapat dengan Menteri Besar mengenai isu berkenaan," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap usaha-usaha pihak tertentu menganjurkan perarakan patung burung, 6 April lalu dan mengadakan persembahan artis di Istana Kubang Kerian pada 12 April 2002. Menurutnya, tidak sepatutnya perkara maksiat dilakukan di negeri ini kerana bertentangan sama sekali dengan agama Islam.
"Aktiviti seperti itu sepatutnya dijauhi umat Islam bagi mengelakkan kemurkaan Allah," katanya

Baru-baru ini, Ibrahim Ali dilaporkan berkata, MTRK akan menganjurkan Jamuan Rakyat di Istana Kubang Kerian dengan menjemput artis termasuk Siti Norhaliza dan Nora.

Menurutnya, acara jamuan rakyat itu akan dimulakan dengan persembahan patung Petalawati. Dijangka hadir pada program berkenaan, Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, menteri-menteri kabinet dan pemimpin Umno.