Dari Pejabat Menteri Besar Kelantan
Setiausaha Politik
Haji Anual Bakhri Harun

NEGARA ISLAM TIDAK PERLU SIDANG MAJLIS FATWA KEBANGSAAN?

CERITA Setiausaha Parlimen JPM Datuk Noh Omar sedap juga. Sidang Dewan Rakyat diberitahu bahawa dah cukup dengan muzakarah Fatwa Kebangsaan Ke 15 pada tahun 1986 mengenai status Islam.

Negara ini tidak payah ada fatwa dalam pengisytiharan 29 September 2001. Kalau dalam kes Memali, Majlis Fatwa Kebangsaan juga yang mengharamkan semua pihak bangkitkan lagi isu Memali.

Tiba-tiba, bila RTM tayangkan klip Memali yang siap dengan ulasan dan tomahan sebelah pihak, Majlis Fatwa Kebangsaan biarkan saja. Setelah lumat digaul, diuli dan puas menjamu hawa nafsu memfitnah "orang-orang mati dan PAS", pada pertengahan Mac 2002 Majlis Fatwa Kebangsaan putuskan semula haramnya semua pihak membangkitkan isu Memali. Macam berpakat-pakat pula.

Kita boleh nampak permainan UMNO. Masa dia nak guna fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan sepenuhnya, dia pakai sepenuhnya. Bila dia nak langgar dia langgar dan kemudian dia pakai balik. Hormat kepada Fatwa Ulama ikut suka-suka saja. Sekarang dia enggan bawa pengisytiharan Malaysia Negara Islam pada 29 September 2001 itu ke Majlis Fatwa. Menteri itu kata pandangan pada tahun 1986 oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan sudah cukup. Sebab itulah jika ada orang mengatakan UMNO memperalatkan Majlis Fatwa Kebangsaan kita sukar untuk menolaknya. Kalau tengok pandangan yang dibuat di tahun 1986, ia mewakili suasana amalan Islam dari merdeka hingga 1986 sahaja. Sekarang tahun 2002, iaitu 16 tahun kemudiannya.

Di tengah-tengah itu, banyak amalan yang anti Islam. Hudud ditolak, hukum Islam dipermainkan, ratu cantik dilepas, mufti yang ambil tindakan dibuang, menghina janggut Nabi selamba sahaja, kata Islam tidak sesuai dengan masyarakat majmuk cuba pula untuk haramkan Islam dari digunakan oleh mana-mana pertubuhan. Mengenai masyarakat majmuk sudah berapa ramai orang Islam yang mati di atas keyakinan Islam tidak boleh laksana kerana masyarakat majmuk? Siapa tanggung dosa-dosa ini? Tak takutkah?

Di tengah-tengah suasana yang amat memusuhi Islam itulah, Umno tiba-tiba kata negara ini negara Islam. Usahkan saya terkejut budak-budak pun naik hairan. Nak sembunyi di mana, kasino, kilang arak, lesen judi, disko, rumah urut dan empat nombor ekor? Mulalah kata tak jumpa Ayat Quran yang haramkan ini semua!

Mengenai keamanan yang kononnya ada di Malaysia, saya kata aman yang dipaksa. Dibuat-buat. Semua diikat lalu duduk diam semua orang. Ikat dengan larangan berceramah, larangan berhimpun dengan aman, larangan menyatakan pendapat, larangan untuk berbeza pendapat, larangan menerbitkan surat khabar dan majalah yang mendedahkan kemungkaran. Sedangkan, semua hak ini ada dalam perlembagaan. Berkas rakyat dengan Akta Polis ISA, OSA, Akta Hasutan, Akta Universiti dan Universiti Kolej.

Berkas tangan dan plastar mulut. Habis, nak bising macam mana. Nampak bergerak siki-sikit lagi, diberkas paksa aku janji lagi. Tak bergerak langsung. Diam. Silap sikit, sembur air, kejar, tarik permit, rampas akhbar, halau, pukul, reman, tangkap dan lokap.

Rakyat cuma boleh berkumpul untuk hanya makan dan minum saja. Bercakap mengenai negara, amalan demokrasi negara, apa yang silap mengenai negara dan apa cara untuk membaiki negara tidak boleh.

Ini yang buat rakyat kita ramai yang kena kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung. Dah asyik makan saja. Sebak di dalam. Nak cakap tak boleh. Inilah amannya Malaysia. Lalu jadilah Malaysia negara Islam. Dah dia kata negara Islam, negara Islamlah. Nak buat macam mana. Tunggu 2003 nilah. InsyaAllah.

Pejabat Menteri Besar Kelantan
Kota Bharu.