MTRK hidupkan perkara khurafat dikecam

KOTA BHARU, 8 Apr - Tindakan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang diketuai Dato' Ibrahim Ali menghidupkan semula amalan khurafat dengan membuat patung burung Petalawati dikecam pelbagai pihak di negeri ini.

Mereka menyifatkan perbuatan tersebut bagi mempamerkan kehebatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas untuk merebut peluang ekoran pergolakkan dalaman Umno Kelantan sekarang. Selain itu, mereka cuba membangkitkan kebencian rakyat kepada istana dan kerajaan negeri.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas berkata, aktiviti yang dilakukan MTRK adalah jelas bertentangan dengan Islam dan suatu pembaziran besar. Katanya, amalan seperti tidak dilakukan mana-mana pemimpin negara lain sekarang termasuk Raja Siam kerana ia adalah amalan membazir.

"Raja Siam tidak benarkan perarakan patung Buddha biarpun ia adalah agama rasmi bagi Thailand. "Ini menggambarkan benda yang membazirkan duit rakyat, Raja Siam tidak benarkan," katanya pada ceramah di Pejabat PAS Peringat di Ketereh, malam 6 April lalu.

Bagaimanapun katanya, keadaan sebaliknya berlaku di Kelantan, di mana ada pihak (bukan kerajaan negeri) membiarkan pembaziran besar berlaku dengan mengadakan perarakan patung burung Petalawati.

Menurutnya, penduduk keturunan Siam yang tinggal di Tumpat juga melahirkan rasa tidak senang MTRK membina dan mengadakan perarakan patung burung Petalawati.

"Beberapa penduduk Siam datang berjumpa saya menyatakan rasa tidak senang terhadap tindakan Ibrahim dan MTRK yang dianggap suatu pembaziran besar berlaku.

"Mereka juga berpendapat Ibrahim cuba mengugatkan keharmonian suasana di Kelantan yang diwujudkan kerajaan PAS sekarang," katanya.

Anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Abdullah Ya'kob berkata, ada pihak di negeri ini cuba melakukan sesuatu yang asing dengan menghidupkan kembali perkara-perkara syirik. Katanya, perkara itu dilakukan dalam usaha mereka untuk membawa suasana baru di Kelantan berasaskan perkara-perkara syirik dan khurafat.
"Perkara yang dilakukan mereka di atas nama MTRK itu adalah jelas berunsur syirik dan khurafat," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kelantan menganjurkan solat hajat sebagai membantah usaha-usaha mewujudkan perkara-perkara khurafat, syirik dan maksiat di negeri ini. Solat hajat berkenaan diadakan pada malam 11 April di Pondok Pasir Tumbuh yang dijangka dihadiri Menteri Besar dan Penguasa Pondok berkenaan, Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar.

Solat berkenaan diadakan bermula selepas solat Isya iaitu sehari menjelang majlis jamuan rakyat yang dianjurkan MTRK di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Persembahan artis termasuk Siti Norhaliza dan Nora serta persembahan patung burung Petalawati difahamkan diadakan pada program di Istana Negeri.