Ad-Din akhbar PAS
Kelantan
KOTA BHARU, - PAS
Kelantan kini mengorak langkah untuk menyalurkan maklumat semasa kepada
orang ramai terutama ahlinya dengan menerbitkan sebuah penerbitan
berkala yang bersaiz tabloid.
Akhbar berkenaan dikenali sebagai Ad-Din diterbit Unit Penerbitan Lajnah
Penerangan dan Dakwah, Badan Perhubungan PAS Kelantan. Keluaran sulung
setebal 16 halaman, bertarikh Muharam 1422 memuat pelbagai maklumat
terkini di negara ini, dirasmikan pelancarannya oleh Pesuruhjaya PAS
negeri, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Majlis pelancaran itu
diadakan di Dewan Zulkefli Mohamad, baru-baru ini.
Selepas majlis pelancaran itu, orang ramai berebut-rebut mendapatkan
naskah berkenaan yang dijual dengan harga RM1 setiap naskah. Lebih 500
naskah terjual pada hari pertama pelancarannya di depan Kedai Kita,
Jalan Dato' Pati.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, penerbitan Ad-Din dapat menampung
kekurangan sumber bahan bacaan kepada ahli-ahli PAS dan orang ramai bagi
mendapatkan maklumat semasa.
"Pihak lain ada macam-macam saluran digunakan untuk menyampaikan
maklumat kepada rakyat, dan PAS juga perlu mempunyai mekanisma sendiri
bagi tujuan itu," katanya pada pelancaran tersebut.
Ad-Din keluaran sulung memuatkan halaman pertama berkaitan pindaan
perlembagaan Kelantan berdasarkan kenyataan Speaker Dewan Undangan
Negeri Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Selain itu, berita mengenai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan,
Dato' Abdul Razak Salleh mengetuai sebuah cawangan PAS di Bachok turut
dimuatkan.
Manakala halaman belakang memaparkan sekumpulan penduduk di Kuala Krai
membuat laporan polis berhubung keengganan Yang Dipertua Majlis Daerah
mematuhi arahan Exco.
Ad Din dikeluarkan setiap awal bulan Hijrah dan keluaraan kedua akan
menyusul pada awal Safar 1422 ini.
Orang ramai yang ingin mendapatkan naskah tersebut boleh mendapatnya di
Kedai Kita, Jalan Dato' Pati, Kota Bharu atau telefon 743 1341, atau
menghubungi pengedarnya, Zainuddin Abdullah (013 928 3670) atau e-mail addin22@hotmail.com
Harakah Kelantan
|