Make your own free website on Tripod.com


Tiada ahli DAP dipengaruhi anuti Islam 

KOTA BHARU,  - Jurucakap DAP Kelantan, Hu Pang Chaw menafikan kenyataan Pengerusi DAP Cawangan Kota Lama, Gua Kwee Yee yang mendakwa terdapat anggota Barisan Alternatif di negeri ini cuba mempengaruhi masyarakat Cina dengan menawarkan jawatan dalam kerajaan negeri.

Katanya, kenyataan akhbar Gua menyebut mereka yang terlibat cuba memujuk ahli DAP dengan menawarkan jawatan tertentu dengan syarat mereka mesti memeluk agama Islam, tidak pernah berbangkit.

Beliau yang juga Ketua Unit Hubungan Antara Kaum Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan berkata, kenyataan berkenaan tidak berasas sama sekali kerana menurut ajaran Islam seseorang tidak boleh dipaksa menganut agama itu.

Tambah beliau, sebagai seorang pemimpin parti, Gua tidak sepatutnya mengeluar kenyataan melalui akhbar kerana ia boleh menjejaskan imej kerajaan negeri, di samping menimbulkan perasaan curiga dalam BA.

"Tuduhan yang dibuat tidak pernah wujud dan dia perlu mempunyai bukti yang jelas sekiranya benar.
"Tidak munasabah sama sekali seorang bukan Islam hendak memujuk orang lain masuk Islam, macam mana dia nak ajak orang masuk Islam, dia sendiri tidak tahu ajaran Islam, tak tahu al-Quran, ini tuduhan yang tidak masuk akal.

"Begitu juga untuk menawarkan seseorang dengan jawatan dalam kerajaan negeri, pelantikan satu-satu jawatan memerlukan kelulusan Exco.
"Lagi pun di Kelantan PAS yang berkuasa, macam mana ahli parti lain nak menawar jawatan kepada orang lain, ini juga satu perkara yang tidak munasabah," katanya pada sidang akhbar, di sini, minggu lalu.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Ahli Jawatankuasa Penyelaras Parti Rakyat Malaysia (PRM) Kelantan yang juga Pengarah Pusat Khidmat Dun Kota Lama, Lee Hai Chew.

Hu berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar 30 dan 31 Mac lalu yang mendedahkan ada ahli parti pembangkang di negeri ini menawarkan jawatan tertentu dalam kerajaan negeri dengan memperalatkan Islam bertujuan untuk meraih sokongan khususnya masyarakat Cina.

Gua dipetik sebagai berkata, mereka yang dipercayai menganggotai jawatankuasa tertentu dalam kerajaan Kelantan, cuba meraih sokongan kaum Cina dengan menjanjikan jawatan jika menganut Islam.

Menurut Hu, kenyataan berupa tuduhan seumpama itu sepatutnya dirujuk kepada Majlis Tertinggi BA peringkat pusat, bukannya membuat kenyataan akhbar yang boleh menjejaskan imej pihak lain terutama kerajaan negeri.

Sementara itu, Lee Hai Chew berkata, pihaknya memandang serius dakwaan Gua kerana ia boleh menjejaskan kerjasama dalam BA.
Sehubungan itu, beliau akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat parti untuk dikemukakan kepada Majlis Tertinggi BA Pusat
.

Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan