Siri muzakarah hanya mainan media 

KOTA BHARU,  - Umno diminta mencipta amanatnya sendiri sekiranya benar apa ada pada Amanat Haji Hadi menyeleweng dari kehendak agama.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, amanat yang bakal dilahirkan Umno boleh menghapus prasangka buruk terhadap Haji Hadi oleh pelbagai pihak sekarang.

"Umno perlu mencipta sendiri amanatnya kerana mereka mendakwa Amanat Haji Hadi salah.
"Sedangkan kita semua tahu, Haji Haji belajar agama sejak dari kecil lagi dan pernah mendapat pendidikan agama di sebuah universiti Islam yang termasyhur di dunia iaitu Universiti Al Azhar," katanya di sini. Menurutnya berdasarkan ilmu yang ada pada Haji Hadi, dia tidak akan menarik balik amanat tersebut.

Akhbar minggu lepas melaporkan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dr Ismail Ibrahim yang baru dianguerahkan Tokoh Maal Hijrah 1422 bersedia bermuzakarah dengan Timbalan Presiden PAS pada bila-bila masa sahaja berhubung amanat tersebut.

Menurutnya, muzakarah itu wajar disambut dengan hati terbuka dan perlu disegerakan supaya segala permasalahan berpunca dari amanat itu sejak 20 tahun lalu dapat ditangani segera.

Sebelum ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mencadangkan supaya diadakan muzakarah bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu, pelbagai pihak melihat siri muzakarah di negara ini hanya menjadi kenyataan di media masa sahaja, sedangkan pada realitinya tidak berlaku.

Seorang guru agama, Ustaz Zulkefli Zakaria berkata, belum pernah berlaku dalam sejarah negara ini muzakarah atau pertemuan yang membabitkan isu semasa diadakan biarpun dimomok dengan begitu rupa melalui media massa.

Katanya, pihak kedua yang sanggup untuk bermukarah kelihatan tidak ikhlas kerana tiada hujah yang mampu untuk dijelaskan kepada umum memandangkan soal agama yang dinyatakan dalam amanah Haji Hadi adalah jelas.

"Kesanggupan Dr Ismail untuk bermuzakarah dilihat apabila dia dilantik sebagai Tokoh Maal Hijrah 1422 baru-baru ini dan pendekatan yang digunakan kelihatan berbaur politik," katanya.

Sebelum ini, sudah banyak siri muzakarah dan pertemuan yang dicadangkan berlangsung, namun diketepikan apabila tiba masanya.

Contoh terbaru apabila Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Hishamuddin Hussien membatalkan debat dengan Ketua Dewan Pemuda PAS berhubung isu perpaduan Melayu.

Begitu juga dengan pertemuan di antara pemimpin tertinggi Umno dan PAS belum lagi menjadi realiti, biarpun sudah heboh diperkatakan melalui media massa. Muzakarah di antara Umno dan PAS suatu ketika dahulu juga pernah dibatalkan menggunakan kuasa Yang Dipertuan Agong ketika menjelang saat-saat pertemuan berlangsung


Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan