236,000 pengunjung lawat Taman Orkid 

KOTA BHARU, -  Seramai 236,000 pengunjung melawat Taman Orkid Tengku Anis tahun lalu ketika Pesta Flora diadakan sempena menyambut ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan.  Jumlah itu meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Flora 2001, Othman Ngah berkata, peningkatan itu dijangka bertambah pada tahun ini berikutan kahadiran pengunjung seramai 6,000 orang sehari, sebelum pelancarannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Pesta Flora 2001 di Taman Orkid Tengku Anis, oleh Raja Perempuan Kelantan, baru-baru ini sempena keputeraan Sultan Kelantan ke-51.
Pesta Flora tahun ini bertema 'Darulnaim Masyarakat Madani' berlangsung selama 10 hari bermula 2 hingga 11 April ini,  dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Othman berkata, bagi menggambaran tema tersebut, perubahan panel penghakiman dibuat iaitu pertandingan keindahan masjid dan tandas awam diadakan.

"Selain itu, pertandingan landskap dan bunga khas, keindahan premis penginapan dan jualan, gubahan bunga, ayam cantik, bunga kertas dan bonsai juga diadakan," ujarnya.
Selain itu, pertandingan model-model landskap, foto ragam kanak-kanak, foto flora, pertandingan memasak dan melukis bagi kanak-kanak.

Beliau juga berkata, sempena Pesta Flora tahun ini, sebanyak 700 ekor rama-rama yang terdiri dari 40 spesis dilepaskan untuk tontonan orang ramai. Beberapa cenderahati berasaskan rama-rama seperti rantai kunci, penanda buku dan tempat letak pen dengan ukiran nama 'Taman Orkid Tengku Anis dijual.

Othman juga berkata, taman orkid tersebut merupakan satu-satunya taman yang menjadi kebanggan rakyat di negeri ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman, isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan wakil-wakil rakyat.  

Sementara itu, Majlis Daerah Kota Bharu (MDKB) muncul sebagai johan keseluruhan sempena flora tersebut. Tempat kedua bagi kategori pertandingan landskap dimenangi Majlis Daerah Pasir Puteh dan ketiga Majlis Daerah Jeli.

Manakala Majlis Daerah Machang muncul johan bagi dua kategori iaitu gubahan bunga kain dan tumbuhan awet. Pertandingan gubahan dari benang bulu dan reka bina pula dimenangi Majlis Daerah Tanah Merah.

Bagi kategori keindahan dan kebersihan premis dimenangi Hotel Perdana dan kategori premis jualan disandang Pasaraya Billion.
Dua kategori pertandingan yang baru diperkenalkan iaitu keindahan masjid mukim dan tandas awam, masing-masing dimenangi Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian dan Tandas Awam Dataran Air Muleh Pasir Mas.

Harakah Kelantan

Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan