Make your own free website on Tripod.com

 

Kelantan Mundur: Pemimpin Umno terus bersandiwara

KOTA BHARU, 9 Apr - Kenyataan 'Kelantan tidak membangun di bawah PAS' yang sering kali meniti di bibir pemimpin Umno, sebenarnya tidak lebih sebagai igauan ngeri pemimpin parti itu terhadap keupayaan PAS mentadbir negeri ini.

Pemimpin Umno cuba menutup minda masyarakat terutamanya penduduk di negeri-negeri lain dengan membuat dakwaan seperti itu. Bagaimanapun hakikatnya, Kelantan masih terus dilimpahi pembangunan dan wajah bandarnya semakin berubah sekarang.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas berkata, sebenarnya pemimpin Umno tenggelam dan syok sendiri, sehingga sukar mengakui Kelantan semakin pesat di bawah PAS.

Katanya, pemimpin parti itu usah banyak bersandiwara kerana mereka sendiri boleh melihat perubahan bandar Kota Bharu, berbanding 12 tahun lalu iaitu semasa di bawah Barisan Nasional (BN).

"Pertumbuhan bandar Kota Bharu begitu pesat sekarang, biarpun tanpa BN. Pihak swasta mengambil kesempatan mengisi ruang yang ditinggalkan BN. "Ini menggambarkan usaha untuk membangunkan Kelantan masih berjalan lancar, tidak sebagaimana didakwa pemimpin BN termasuk Timbalan Presidennya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya di sini.

Baru-baru ini, Pak Lah dilaporkan berkata, dalam tempoh 12 tahun PAS memegang tampuk pemerintahan, tidak ada perkara yang boleh dibanggakan.

Haji Abdul Razak berkata, pemimpin BN yang kurang berpotensi seperti Pak Lah sahaja yang sering menutup minda rakyat untuk melihat keadaan sebenar di Kelantan.

"Kita hairan bagaimana seorang pemimpin yang dikatakan mempunyai keluarga yang alim boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu dengan membohongi rakyat tanpa rasa malu," katanya.

Menurutnya, pembinaan Hospital Pakar Perdana yang membabitkan kos RM50 juta oleh Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd di Kota Bharu adalah di antara contoh yang membuktikan Kelantan terus membangun. Hospital tersebut merupakan hospital pakar milik swasta kedua selepas Kota Bharu Medical Centre, yang beroperasi beberapa tahun lalu.

Hospital Pakar Perdana yang baru beroperasi baru-baru ini adalah projek usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dibangunkan bersebelahan Hotel Perdana. Hospital berkenaan menyediakan 126 hatil dan 24 klinik berkaitan kepakaran di bidang termasuk bius, bedah, urologi, bersalin, sakit puan, jantung pembedahan kanak-kanak, mata, telinga, hidung, tekak dan tulang.

Adun Gual Ipoh, Mohd Kamil Harun berkata, pembangunan di Kelantan sekarang kelihatan lebih menyeluruh berbanding 12 tahun lalu. Menurutnya, kawasan hulu dan pedalaman semakin pesat dimajukan sekarang dengan pembinaan rangkaian jalan raya yang lebih sempurna. Misalnya kata beliau, jalan raya Gual Ipoh - Peralla, Jelawang - Gua Musang dan Lojing - Gua Musang sedang pesat dibina sekarang.

"Biarpun projek itu dijalankan di bawah kerajaan Persekutuan, namun hakikatnya duit tersebut adalah daripada pelbagai hasil yang dibayar rakyat dan bukan duit milik Umno secara total," katanya.

Adun Pengkalan Kubur, Haji Wan Hussin Wan Ahmad berkata, Kelantan masih mampu mengiringi negeri lain dalam pembangunan, biarpun ia sering kali dinafikan pemimpin Umno. Katanya, hakikat itu boleh dilihat sendiri rakyat Kelantan dan pelancong yang sering datang ke negeri ini.

Wakil rakyat Kelaboran, Haji Nordin Yaakub berkata, biarpun BN cuba menyisihkan Kelantan dari arus pembangunan, namun pihak swasta memanfaat peluang tersebut bagi memancu jentera ekonominya.

Kata beliau, sekiranya Kelantan tidak mempunyai potensi yang boleh memberi keuntungan kepada pihak swasta, sudah tentu mereka tidak akan melabur di negeri ini.

"Pemimpin Umno usah menjadi jurucakap bagi melaporkan keadaan semasa di Kelantan, sekiranya masih jahil dalam suasana yang berlaku di sini," ujarnya.