Hasrat Umno rampas Kelantan:
MAHU SUBURKAN AKTIVITI MAKSIAT

KOTA BHARU, 9 Apr - Dakwaan pelbagai pihak mengenai hasrat Umno mahu merampas Kelantan bagi menghidupkan kembali aktiviti khurafat, kini ternyata ada kebenarannya. Perkara itu terbukti apabila Umno secara terang-terangan mengajak orang ramai hadir pada program maksiat dan khurafat yang akan diadakan di Istana Negeri pada 12 April ini.

Malah, Umno Kelantan melalui Setiausaha Badan Perhubungannya, Dato' Ahmad Rosli Ibrahim menjemput pegawai-pegawai kerajaan negeri hadir pada majlis berkenaan, yang turut dihadiri Sultan, Raja Perempuan, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin Umno.

Menurut sumber, surat jemputan daripada Badan Perhubungan Umno Kelantan itu turut diterima pegawai di Pejabat Menteri Besar. Jemputan terbuka juga diedar kepada orang ramai, yang ditabur di jalan-jalan raya semasa perarakan patung burung Petalawati di Tumpat, 6 April lalu.

Jemputan yang berwarna kuning itu dibuat oleh Dato' Ibrahim Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk, Sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan ke-52.

'Jangan lepas peluang bersama menyaksikan perayaaan sempena ulangtahun Al Sultan Kelantan ke-52 pada 12 April jam 8 malam' - isi kandung surat itu dipetik. Aturcara yang ditulis pada surat berkenaan iaitu perarakan patung burung Petalawati, kereta berkuda, beca berhias, pulut semangat, perarakan hulubalang, bendera, persembahan artis Siti Nurhaliza, Nora, Helmi The Gimmick, Roslan Shah Singapura, Halim Yazid, Kombo RTM dan Simfoni Tradisional Kelantan.

Selain surat jemputan berkenaan, wartawan akhbar harian turut menerima kad jemputan ke majlis Jamuan Rakyat yang bertema 'Raja Milik Rakyat' dijemput atas nama Pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Sementara itu, satu sumber lain memberitahu, Perdana Menteri dijangka menerima anugerah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) daripada Sultan Kelantan di Balai Besar kira-kira jam 4.40 petang, 12 April ini. Penerima lain darjah D.K sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan tahun ini iaitu Yang Dipertuan Agong, Sultan Terengganu dan Sultan Selangor.

Presiden Umno itu juga dijangka berada di Istana Negeri, Kubang Kerian pada sebelah malam untuk menghadiri jamuan rakyat dan menyaksikan persembahan artis bersama pemimpin-pemimpin Umno lain.

Sebelum itu, pada sebelah pagi, Perdana Menteri dijangka mengadakan perjumpaan dengan kakitangan kerajaan di Dewan Besar, Universiti Sains Malaysia, Cawangan Kubang Kerian. Pemimpin itu dikatakan akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhamadi.

Menurut sumber, pada sebelah petangnya, Presiden Umno difahamkan mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan Umno Kelantan di Istana Kota Lama, Jalan Sultanah Zainab. Istana berkenaan kebiasaannya dijadikan tempat penginapan Raja-Raja Melayu yang datang ke Kelantan untuk meraikan sesuatu perayaan atau lawatan rasmi.

Seorang penduduk, Haji Yusof Abdullah, 65 berkata, Umno tidak mampu lagi menyembunyikan agenda sebenar mahu merampas Kelantan bagi menyuburkan kembali aktiviti maksiat dan khurafat.

Katanya, perkara itu sudah terbukti sekarang apabila Umno yang berselindung di sebalik MTRK secara terang-terangan menghebahkan program maksiat dan khurafat yang bakal diadakan di Istana Negeri, Kubang Kerian.

"Sekiranya parti itu diberi mandat lagi untuk menerajui Kelantan, sudah tentu agenda seperti inilah yang akan diutamakan dengan mendapat restu pihak tertentu," tambahnya.

Menurutnya, rakyat Kelantan sama sekali tidak akan membiarkan Umno terus tertakhta di negeri ini, kerana mereka akan dipersoalkan di akhirat kelak sekiranya bersekongkol dengan parti yang meredhai maksiat.

Beliau berkata, telahan yang dibuat pelbagai pihak sebelum ini, iaitu Umno akan menghidupkan semula kegiatan maksiat dan khurafat sekiranya dibenarkan memerintah, sudah terbayang kebenarannya sekarang.

"Ini kerana MTRK yang menjadi penganjur program majlis maksiat itu kesemuanya dianggotai pemimpin dan penyokong Umno. "Dan ini bermakna Umno Kelantan merencanakan program seumpama itu dengan menggunakan nama NGO.

"Kita juga bimbang institusi kesultanan di Kelantan semakin dipinggirkan rakyat kerana membiarkan pihak yang menganjur maksiat dan berunsur khurafat di premis milik badan berkenaan," katanya.