Analsis Berita: Mazlan Jusoh
Gabungan Ku Li - Ibrahim Ali kurang menjadi

KOTA BHARU:  Bayangan samar mengatakan fikrah Semangat 46 yang dibubarkan Tengku Razaleigh Hamzah, cuba bangkit semula di pentas politik Kelantan kini semakin jelas. Isu pindaan perlembagaan Kelantan membabitkan kuasa-kuasa raja menyatukan semula mereka yang masih berjiwa parti bernombor itu. Biar pun parti tersebut sudah dikuburkan tanpa nisan, kira-kira lima tahun lalu, namun perjuangan lama cuba dibangkitkan semula.

Drama pertama dipentaskan adalah tentangan terhadap isu pindaan perlembagaan Kelantan. Sekiranya berjaya lakonan itu, mereka bakal dinobat wira baru. Dato' Paduka Ibrahim Ali sebenarnya sudah diwirakan pihak tertentu sebagai Adi Jagat bertemu semula dengan nahkodanya. Ku Li putera raja berdarah rakyat seolah-olah menjadi tuan baru bagi bekas orang kuat Semangat 46 itu.
Hubungannya semakin dingin dengan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, angkara perhimpunan Barisan Bertindak Melayu menjadi titik tolak merenggangkan hubungan mereka. Ibrahim menerima kritikan bertalu-talu ekoran perhimpunan tersebut. Namun beliau cuba  mempertahankan idealismenya. Tanggungjawab yang dipikul mencalarkan dirinya sendiri.

Kemudian pada perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur pertengahan Jun lalu, Ibrahim cuba bangkit menjadi wira lagi. Namun, senjatanya tumpul dan sudah hilang bisa. Kritikan dan kencaman terhadap Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di bawah ketuanya, Dato' Hishamuddin Hussin ternyata mendarah lagi luka yang ada.

Hishamuddin yang dianggap ramai pihak, kurang kredibiliti berbanding Azalina Othman mula naik angin. Maka dilontarkan kembali peluru Ibrahim terhadap Adi Jagat itu. Walhasilnya badan Ibrahim sudah benar-benar tercalar.

Kini kesempatan keemasan direbut untuk mencari gelombang baru dalam pentas politik. Kembali semula ke Kelantan untuk menjadi Adi Jagat ala kampung. Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) menjadi platform baru meneruskan sisa-sisa politiknya. Maka Ku Li adalah ketua yang begitu afdal baginya sekarang.

Ku Li dan Ibrahim sama-sama senasib, tidak ada tuah di bawah era terakhir Dr Mahathir. Ku Li masih terpinggir untuk mengangkat martabat diri di dalam kabinet baru Mahathir. Semasa Tun Daim melangkah keluar dari kabinet, Ku Li dikatakan orang, mengidamkan sesuatu. Heboh cerita, Ku Li akan kembali semula ke Kementerian Kewangan. Begitu juga selepas pilihan raya umum November 1999, nama Ku Li sudah berada di senarai teratas.

Namun, Dato' Dr Rais Yatim, Dato' Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Dato' Zainal Abidin Zin dari kerabat Semangat 46 yang mendapat tempat. Ku Li sebagai presiden 46 jelas dipinggirkan. Maka bermaharajalah anak raja itu di Gua Musang. Kata Ku Li, selayaknya dia tetap kekal sebagai gurkha.

Bagaimanapun hari ini, beliau kembali semula ke pentas terbuka bagi menarik simpati rakyat Kelantan. Isu pindaan bagi mempertahankan kaum kerabatnya menjadi landasan baru perjuangan dirinya.
Ku Li mempertautkan kembali rakan-rakan lama (bekas anak buah) berada di bawah satu bumbung. Ibrahim bekas orang kanannya. Begitu juga, Norzula Mat Diah, Nik Mustafa Nik Loding, Hajah Kelthum Ahmad, Dato' Ahmad Rosli Ibrahim adalah antara anak-anak buah Ku Li dalam Semangat 46.
Mereka dipertautkan kembali dalam fikrah yang baru. Kali ini kumpulan itu mempunyai wira lama yang dipanggil Adi Jagat. Adi Jagat mengatur langkah dengan bersandarkan MTRK. 
   
MTRK memulakan episodnya dengan 'mengerah' segala bekas-bekas Semangat 46 untuk menyambut keberangkatan tiba sultan Kelantan dari lawatan ke Dubai pada 12 Febuari lalu. Ibrahim selaku Pengerusi MTRK mengetuai perhimpunan menjunjung kasih dengan melafazkan Daulat Tuanku. Agenda kedua menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar bagi membantah pindaan perlembagaan negeri pada 28 Mac lalu.

Adegan ketiga, menghimpunkan rakyat di Jalan Sultan Ibrahim pada 25 Jun lalu ketika persidangan Dun bagi membentangkan pindaan perlembagaan berlangsung. Jika dibanding ketiga-tiga perhimpunan itu, bilangan yang hadir semakin kurang.  Sambutan orang ramai bertambah mengecut. Tidak ramai yang sudi hadir.

Perhimpunan di Jalan Sultan Ibrahim cukup memalukan apabila hanya kira-kira 50 orang yang hadir.
Biarpun akhbar harian melapor ratusan dan ribuan hadir, berita itu mengelihatikan orang ramai. Poster dan sepanduk mengajak orang ramai sudah dilekat di merata tempat, hampir seminggu sebelum program berlangsung.

Di segenap batang jalan dan pokok di Kota Bharu kelihatan dilekatkan poster tersebut. Malah akhbar juga memuatkan makluman mengenainya. Namun semuanya menghampakan. Ibrahim berkata, bilangan yang ramai tidak mencerminkan sokongan sebenar. Biar pun tidak ramai hadir, bilangan itu sudah cukup menggambarkan mereka lebih ikhlas, kata Adi Jagat. Nada kecewa seperti itu lahir dari mulut Ibrahim sendiri ketika berceramah di perhimpunan di padang Sekolah Kebangsaan Padang Garong, malam 2 Julai lalu.

Dan agenda lain diwar-warkan, kononnya Tun Ghaffar Baba dijangka hadir pada malam 2 Julai itu. Tun Ghaffar sebagai Hang Tuah tua yang patah taring tidak dapat hadir dan digantikan dengan Wan Ismail Wan Ahmad (bekas ahli PAS).

Kehadiran Ku Li dan Ibrahim ternyata tidak mampu menarik minat khalayak. Tokoh yang sudah patah taring dan hilang wibawa itu, seakan-akan tidak ada lagi dalam diari politik rakyat Kelantan.
Apa lagi yang hendak dinobatkan dengan Ku Li dan Ibrahim. Biar apa pun agenda dicetus, hasrat untuk menarik simpati rakyat Kelantan sudah lama berlalu.  

Siapa yang tidak kenal Ibrahim dan Ku Li. Sejarah politik mereka kini berada di dalam genggaman rakyat Kelantan.  Ada pemerhati politik berpendapat, mana-mana pihak yang cuba menggunakan khidmat mereka, pastinya turut mengundang nasib malang. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia ramai sudah tahu.

Perjuangan mereka berdua di bawah MTRK rupa-rupanya tidak mendapat restu dari Umno. Sejak dari awal sehingga kini, tidak ada kenyataan menyokong perjuangan MTRK dari mana-mana pemimpin Umno, termasuk Pengerusi Perhubungannya, Dato' Mustafa Mohamed.

Malah agak mengejutkan, apabila Ketua Bahagian Kuala Krai, Dato' Wan Zaid Wan Abdullah menyifatkan kumpulan menentang pindaan perlembagaan Kelantan sebagai serpihan Umno.
"Presiden Umno tidak pernah mengeluarkan arahan menentang pindaan perlembagaan Kelantan seperti dilakukan MTRK. Mereka adalah bekas-bekas Semangat 46," tambahnya.

Kenyataan itu sebenarnya memecahkan tembelang sebenar watak bekas Semangat 46. Biarpun apa tindakan mereka selepas ini, pastinya mencacat diri pihak penaja.  Bekas teman rapat Ku Li, Haji Abdul Razak Abas berkata, rakyat Kelantan kenal siapa Ku Li dan Ibrahim. Dunia politik mereka sebenarnya sudah berlalu. Rakyat Kelantan telah lama dewasa dan mereka tahu siapa yang berpura-pura.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan