Salmah Mat Hussin

Pindaan tidak babitkan imuniti raja

KOTA BHARU, 9 Julai (Hrkh) - Kerajaan negeri menjelaskan tidak ada perbezaan di antara pindaan Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan dengan apa yang dibuat kerajaan Persekutuan pada 1994.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakhri Haron berkata, pindaan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, 25 Jun lalu berasaskan pindaan Perlembagaan pada 1994 dan bukannya pindaan 1993.

Sehubungan itu, katanya tidak timbul masalah kononnya niat pindaan yang dibuat kerajaan Kelantan berbeza dengan pindaan peringkat Persekutuan pada 1994.

"Asas pindaan ini adalah pindaan 1994 yang memperincikan maksud sebenar ungkapan 'act in accordance with advice' dan yang memperuntukkan rang undang-undang menjadi undang-undang setelah berakhir tempoh 30 hari setelah diluluskan.

"Pindaan ini bukannya berasas kepada pindaan 1993 yang menghadkan kekebalan raja-raja," katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Baru-baru ini,  Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata, keenganan Sultan Kelantan memperkenankan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri itu dibuat atas budi bicara baginda dan bukan kerana memihak kepada mana-mana parti politik.

Dr Mahathir berkata, semasa pindaan perlembagaan mengurangkan kuasa raja pada 1993, Sultan Kedah dan Johor pun tidak menandatanganinya.

Anual berkata, pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan tidak ada kaitan dengan pindaan peringkat Persekutuan pada 1993, kerana apa yang dibuat di Kelantan adalah penyelarasan terhadap pindaan Perlemabagaan 1994 berhubung fungsi raja dan bukannya kekebalan raka-raja.

Justeru itu katanya, Menteri Besar enggan mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubung mengapa pihak istana enggan memperkenankan rang undang-undang yang dilulus Dun Kelantan, 25 Jun lepas.
"Ini kerana beliau tidak akan memperakui sebarang pengumuman tentang penolakannya selagi jawapan hitam putih belum diberikan oleh wakil rasmi pihak istana dalam jangka masa yang diperuntukkan.

"Sedangkan proses pengesahan atau penolakan rang undang-undang ini ada prosedurnya yang tertentu, takkanlah pihak istana akan menolak rang undang-undang ini tanpa menelitinya terlebih dahulu, sedangkan kini ia belum pun lagi dihantar," jelas beliau
.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan