Make your own free website on Tripod.com


MB saksi perlumbaan Cub Prix Shell

PENGKALAN CHEPA, 9 Julai (Hrkh) - Cub Prix Shell Advance Malaysia 2001 yang diadakan di sini Sabtu lalu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila hadir memberi semangat kepada setiap pelumba.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyasrakat, Pelancongan, Kebudayaan dan NGO, Haji Anuar Tan Abdullah turut hadir bersama lebih 5,000 penonton yang diadakan di Litar Kawasan Industri Pengkalan Chepa, pada 7 Julai lalu.

Pelumba Maju Motor Shell Yamaha, Mohd Faizal Yahya menjuarai pusingan ketiga itu. Dengan kemenangan tersebut beliau menduduki tempat teratas keseluruhan kategori pertandingan expert.
Mohd Faizal menamatkan perlumbaan 12 pusingan dengan masa 9 minit 28.402 saat, meninggalkan pelumba Petronas Sprinta TVK, Ahmad Fuad Baharuddin dan M Meganathan dari Hi Rev Suzuki.
Faizal ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas kemenangannya itu dan berazam untuk meningkatkan lagi pencapaian dalam perlumbaan akan datang.

"Pelumba lain juga berhempas pulas untuk mencapai kemenangan dan saya terpaksa berazam untuk meningkat prestasi yang lebih baik lagi," ujarnya. Kedudukan Faizal di tempat pertama itu menyaksikan beliau kini di tempat teratas senarai keseluruhan dengan 59 mata, diikuti Meganathan (54), Ahmad Fuad (51), Chia Tuck Cheong (44) dan Abdul Halim Zahid (33).

Sementara itu, bagi kategori novis, Abdul Rahman Sidek yang mewakili Shell Advance KF muncul juara buat kali ketiga berturut-turut dengan mata terkumpul 75 selepas tiga pusingan.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Ahmad Nashrul yang mewakili Petronas Sprinta TVK dan Hasmizan Che Din yang mewakili YY Pang Racing.

Perarakkan motosikal jenis klasik termasuk motosikal klasik berkuasa tinggi turut diadakan bagi memeriahkan pertandingan tersebut.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan