Make your own free website on Tripod.com


Bukan Islam mahu Ku Li henti sandiwara

GUA MUSANG, 9 Julai (Hrkh) - Rakyat bukan Islam di sini mengesa Tengku Razaleigh Hamzah dan pihak-pihak tertentu berhenti menghasut pihak istana supaya tidak menandatangani pindaan perlembagaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri, 25 Jun lalu.

Mereka mahu sandiwara itu dihentikan segera kerana mencerminkan tindakan bermotif kepentingan peribadi segelintir pihak dan bukannya kehendak majoriti rakyat Kelantan. Seorang penduduk Cina dari Pulai, Tong Kau Ching berkata, tindak tanduk Ku Li dan pihak-pihak tertentu sebelum ini adalah jelas membelakangi hasrat majoriti rakyat.

Katanya, mereka usah hendak bersandiwara di belakang tabir, kononnya untuk mempertahankan institusi raja-raja Melayu kerana rakyat sudah kenal siapa mereka.

"Ku Li bukannya penasihat kepada istana dan tidak perlu bercakap bagi pihak istana kononnya sultan tidak akan memperkenankan pindaan perlembagaan yang diluluskan," katanya ketika ditemui di sini.
Kupusamy a/l Ramasami berkata, Ku Li dan bekas-bekas Semangat 46 tidak perlu mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku sekarang kerana mereka sudah tidak ada lagi di pentas politik Kelantan.

"Dulu kita memberi undi kepada Ku Li supaya dia menang bagi memudahkan dia melaksanakan pembangunan untuk rakyat.  "Tapi sekarang nampaknya Ku Li buat kacau pula dan sanggup melagakan istana dengan kerajaan negeri. Orang macam ini tidak boleh dipercayai lagi dan kita sebagai rakyat harus menolaknya pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Muhammad Faisal Ismail, 40 berkata, tindak tanduk Ku Li kebelakangan ini amat tidak menyenangkan rakyat kerana mahu muncul sebagai hero bagi mempertahankan kesultanan secara tidak bertempat.
Kata beliau, apa yang dilakukan Ku Li dan segelintir pihak dalam Umno sekarang jelas cuba menangguk di air keruh.

Penyelia Parliman Gua Musang, Haji Abdul Razak Abas menyifatkan tindakan Ku Li dan Dato' Paduka Ibrahim Ali menjuarai pihak yang menentang pindaan perlembagaan negeri menambah lagi rasa kebencian rakyat terhadap mereka.

Katanya, beliau yakin pihak istana tidak mungkin terpengaruh dengan tindak tanduk mereka sekarang kerana ia jelas berkepentingan politik murahan.

Baru-baru ini, Ku Li bersama Ibrahim tampil ke pentas secara terbuka menentang pindaan perlembagaan negeri yang diluluskan Dun Kelantan.

Ibrahim pula dengan sumpah seranah menghentam habis-habisan kerajaan negeri terutamanya peribadi Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Baru-baru ini, Majlis Jaksa Pendamai (JP) dan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan
turut meminta pihak sultan tidak memperkenankan perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang diluluskan 25 Jun lalu.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan