Pemimpin PAS saman Mingguan Melaka

KOTA BHARU, 9 Julai - Pemimpin PAS Kelantan mengesahkan mereka sudah berunding dengan sebuah firma guaman di sini untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap penerbit buletin Mingguan Melaka.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood yang turut dilibatkan namanya pada laporan itu berkata, pihaknya dan beberapa lagi pemimpin PAS termasuk Wan Azim Wan Abdullah, Salahuddin Mahmud dan Adun Tendong, Haji Wan Othman Wan Yusof sudah menyatakan persetujuan untuk mengemukakan saman tersebut.

"Kami sudah berunding dengan sebuah firma guaman di sini minggu lalu dan pihak terbabit sedang mengumpul bukti lengkap sebelum difail kes tersebut di mahkamah dalam tempoh terdekat ini," katanya di sini.

Menurutnya, laporan yang disiarkan buletin milik kerajaan Melaka tersebut adalah tidak berasas sama sekali dan jelas berunsur fitnah.  Kata beliau, pihaknya begitu dukacita dengan fitnah yang dilemparkan pihak terbabit melalui buletin rasmi milik sebuah kerajaan negeri.

"Ekoran penyiaranan berita tersebut, kita menerima banyak panggilan telefon dari pelbagai pihak menanyakan mengenai perkara itu, sedangkan berita yang disiarkan jelas satu fitnah yang boleh merosakkan nama baik kami," katanya.

Mingguan Melaka yang bertarikh 10 hingga 16 Jun 2001 menjadikan tajuk 'Perampas Balak' sebagai tajuk utama buletin itu.  Menurut buletin tersebut, beribu-ribu hektar kawasan balak di Kelantan kini diancam oleh kerakusan para pemimpin PAS yang sedang ghairah membahagi-bagikan kawasan balak sesama mereka.

Antara nama lain yang turut dimuatkan dalam laporan itu termasuk Spaeker Dewan Undangan Negeri (Dun), Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Adun Ketereh, Haji Ashaari Mamat.
Harakahdaily difahamkan saman kedua turut akan dikemukakan penama terbabit yang turut dilibatkan dalam laporan tersebut.

"Fitnah yang dilemparkan tersebut juga membabitkan kerajaan negeri kerana mereka turut mengheret nama Speaker Dun Kelantan dalam berita yang difitnahkan," katanya.
Ustaz Wan Jamil juga hairan bagaimana sebuah kerajaan negeri boleh menerbitkan sebuah buletin yang memfitnah pihak lain dalam lidah rasmi miliknya.

Menurutnya, perkara seperti itu tidak pernah dilakukan oleh mana-mana penerbitan milik kerajaan negeri lain sebelum ini dengan menyiarkan berita fitnah terhadap pihak lain.
Oleh itu, tindakan saman perlu diambil terhadap pihak terbabit bagi membersihkan nama terhadap fitnah yang dilemparkan. 

Semalam, Harakahdaily memetik kenyataan sumber kemungkinan besar pemimpin PAS yang terbabit dengan fitnah dilemparkan Mingguan Melaka akan mengemukakan saman.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan