Pindaan Selesai Kemelut Panjang di Kelantan

KOTA BHARU, 9 Julai  - "Saya bersyukur kerana telah berjaya menyelesaikan bebanan yang telah dipikulnya lebih 10 tahun lalu di dalam menghadapi isu pindaan ekoran ada pihak yang mengambil haknya," kata Menteri Besar.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sekarang kerajaan negeri menyerah kepada Sultan Kelantan untuk memberi perkenan ke atas pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kelantan yang diluluskan, 25 Jun lalu.

Katanya, sekiranya Tuanku tidak mahu menjejaskan hubungan dengan rakyat, Insya Allah Tuanku terimalah dengan penuh hati terbuka dan rakyat akan menjunjung kasih Tuanku dengan sepenuh hati, Insya Allah.

Kenyataan itu menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri mengembalikan kedudukan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di landasan asal. Biar semua pihak saling memahami dan menghormati bidang tugas bagi mencerna makna sebenar demokrasi dan raja berperlembagaan.
Menteri Besar berkata, konsep Raja Berperlembagaan telah mengalami pengubahsuaian asas di peringkat persekutuan mengenai takrif nasihat dan perkenan raja pada 1994.

"Maka keperluan penyelarasan undang-undang di kedua-dua peringkat sudah menjadi satu kemestian. Ini pun kerajaan negeri sudah terlewat hampir 10 tahun kerana terlalu berhemat, berjimat dan berhati-hati," kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika membentang enakmen mengenai perkara tersebut.

Enakmen Undang-Undang Tubuh Negeri Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2001 yang dibentang Menteri Besar dilulus dengan sokongan semua anggota Dewan yang hadir. Seramai 40 wakil rakyat yang hadir, bangun seorang demi seorang untuk menyatakan sokongan padu terhadap pindaan tersebut. Lima wakil rakyat iaitu Adun Gual Periuk, Ustaz Abdullah Abdul Razak, Adun Guchil, Ustaz Zulkefli Yakob, Adun Banggol Judah, Haji Zakaria Yaakub, Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat dan Adun Kemahang, Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman menyatakan mereka sangat setuju pindaan itu. 

Pindaan tersebut menyentuh Perkara 15 (1) pula mentakrifkan sultan bertindak mengikut nasihat Menteri Besar atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.  Selain itu, Perkara 39 (2) menjelaskan sultan hendaklah perkenan undang-undang yang diluluskan oleh Dun.  Sekiranya rang undang-undang tersebut tidak diperkenan dalam tempoh 30 hari, ia tetap akan menjadi undang-undang.

Ramai pihak berpendapat pindaan tersebut perlu dilakukan memandangkan sebelum ini berlaku banyak perlanggaran tugas. Di mana ada pihak cuba mengheret istana pergi terlalu jauh ke dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri. Banyak catatan sebelum ini, kehadiran Menteri Besar ke peringkat jajahan tidak dihadiri Ketua Jajahan dan pegawai kanan.

Ada dakwaan yang layak dipercayai menjelaskan, pegawai kanan dikatakan cuba memboikot Menteri Besar dan anggota Exco atas arahan pihak tertentu.  Hakikat itu diakui sendiri Menteri Besar ketika membentang enakmen pindaan pada persidangan Dun dengan mengatakan tanpa melakukan pindaan telah wujud banyak kekaburan dan kesamaran menyebabkan pihak istana kadang kalanya dilihat kerap kali melanggari sempadan hak kuasa eksklusif kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat.

"Sengaja atau tidak ini telah menimbulkan gangguan-gangguan, ketegangan-ketegangan dan krisis-krisis yang tidak menguntungkan.  "Ada ketikanya di mana kenaikan dan penurunan pangkat pegawai tidak langsung diketahui oleh kerajaan negeri. Pernah berlaku di mana pegawai di bawah dagu seorang ketua negeri pun ditukar tanpa makluman barang sepatah ayat," katanya.
Menurutnya, beliau telah lama menelan hempedu bersekali dengan bisa-bisanya dan beliau tidak merungut kepada sesiapa.

Kata beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) masih berterusan mendabik dada dan dengan seronok dan tidak henti-hentinya mendakwa bahawa dia adalah badan bebas. "Tidak kah dengan ini telah wujud 'a state within a state'."

Pindaan yang dilakukan itu sebenarnya gelombang sudah berlaku sejak 1983 lagi, apabila Umno Kelantan ketika itu menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai yang tidak hormat dan memandang rendah pandangan-pandangan pemimpin parti (Barisan Nasional).

Pada 6 November 1983, bekas anggota Parlimen Tumpat, Haji Dasuki Ahmad dilaporkan berkata, pindaan perlembagaan 1983 bertujuan untuk menjaga, mengukuh, menguatkan pemerintah beraja dan memudahkan pentabdiran negeri bagi kebaikan rakyat.

Manakala desakan dalaman PAS sudah serius pada muktamar di Kuala Terengganu pada tahun lalu.
Berdasarkan kepada catatan sejarah itu, ia jelas bukan bermula dengan penarikan dua butir pingat daripada dua anggota Exco, awal Januari lalu.

Pada 25 Januari lalu, akhbar mendedahkan pingat yang pernah dianugerah kepada Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Takiuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Mohamed Daud ditarik balik oleh sultan.

Takiyuddin menerima darjah kebesaran Ahli Setia Kelantan dan Ustaz Mohamad dianugerah pingat Setia Mahkota Kelantan. Berdasarkan kepada laporan akhbar, penarikan balik pingat itu berpunca daripada bantahan dua Exco terbabit berhubung permohonan tanah oleh pihak istana di Hulu Kelantan. Selepas menerima surat menarik balik pingat itu, Takiyuddin memulang pada 22 Januari dan Ustaz Mohamed pada 18 Januari 2001.  Isu penarikan balik pingat itu rupanya mencetus suasana semakin tegang di antara kerajaan negeri, istana dan PAS.  Ketika itu, Dato' Wan Mohamad Wan Konok (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri - Pembangunan) menjadi juara bagi pihak istana dan menjadi jurucakap di atas kapasiti yang tidak jelas.  Ekoran itu, Takiyuddin memberi ingatan kepada Wan Mohamad kerana membuat kenyataan umum tanpa mendapat kebenaran kerajaan negeri.
"Ayat beliau merupakan satu kenyataan yang tidak dialu-alukan keluar daripada seorang pegawai kanan kerajaan," katanya Takiyuddin kepada pemberita menjelaskan perkara itu.

Bagaimanapun perkembangan yang berlaku di Kelantan cuba diambil kesempatan oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kononnya mewakili rakyat yang tidak suka kepada pindaan perlembagaan negeri.  Agenda pertama mereka berkumpul di perkarangan Istana Mahkota Kelantan bagi menyambut keberangkatan pulang lawatan Sultan Kelantan dari Dubai pada 12 Febuari lalu.  Keduanya cuba bersandiwara dengan menyerah memorandum kepada Menteri Besar pada 31 Mac lalu, bagi membantah pindaan perlembagaan negeri.  

Manakala agenda terakhir menjelang pindaan dilakukan dengan mengadakan perhimpunan di Jalan Sultan Ibrahim bagi membantah pindaan tersebut. MTRK yang diketuai bekas orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah iaitu Dato' Paduka Ibrahim Ali semakin hilang sokongan di kalangan pengikutnya.  Penyokong Umno dan bekas Semangat 46 yang hadir pada program yang dianjurkannya semakin kecil. Ibrahim dan dua Adun BN, Norzula Mat Diah dan Mohd Saufi Deraman sepatutnya kecewa dengan jumlah kehadiran yang begitu memalukan. Tidak sampai 100 orang yang hadir pada perhimpunan terakhir MTRK diadakan pada 25 Jun lalu. Mereka yang kelihatan hadir pada setiap program yang diadakan adalah bekas-bekas Semangat 46 yang kini berdondang sayang dalam Umno.
Segelintir pihak yang cuba bermadah seloka untuk mengganggu hasrat murni kerajaan negeri sebenar tenggelam dalam hipokrit dan hilang jadi diri. Mereka pastinya akan tenggelam bersama labu-labunya


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan