Serangan Ke Atas Afghanistan:
Amerika Samseng Tidak Bertamadun


MACHANG, 8 Okt  - Muryidul Am PAS menganggap serangan Amerika dan sekutunya, Britain ke atas Afghanistan baru-baru ini sebagai tindakan gengstar (samseng) bila berdepan dengan musuhnya.

"Itu bukan caranya, itu bukan cara negarawan.. itu gengstar.. tidak betul kecuali dia (Amerika) dapat membuktikan Osama Ben Laden benar-benar terbabit. "Tetapi mengikut maklumatnya sehingga sekarang pun Amerika tidak mempunyai bukti jelas mengenai segala tuduhan dilemparkan terhadap Osama.

"Cuma pakai main agak, syak sahaja.. ini bukan cara tamadun yang dibuat," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik selepas merasmikan sambutan Hari Perhutanan Peringkat Negeri Kelantan di Hutan Lipur Bukit Baka di sini, 8 Oktober.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sehingga sekarang pun Amerika tidak boleh memberi bukti yang jelas bahawa Osama terbabit dengna kejadian serangan di New York dan Washington.

Amerika dan sekutunya, Britain malam 7 Oktober lalu melancarkan serangan terhadap Afghanistan selepas mendapat arahan daripada Presiden Amerika, W Bush. Sasaran pertama serangan itu iaitu Kabul, Kandahar dan Jalabab yang menjadi kubu kuat kerajaan Taliban.

Pada 11 September Pusat Dagangan Dunia di New York dan Pentagon diserang menggunakan pesawat milik Amerika oleh kumpulan berani mati.
  
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya Amerika sakit hati kerana ada orang serang menara berkembar dan Pentagon, orang lain pun sakit hati juga kerana Amerika terlebih dahulu membuat perkara-perkara seumpama itu.

"Amerika terbabit sejak sekian lama iaitu serangan bom atom digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima sehingga kepada pemusnahan bangsa Arab Palestin dengan membahagikan tanah Arab itu kepada Yahudi.
"Ini menyebabkan penduduk Arab bertaburan di seluruh dunia. Mereka sekarang seolah-olah tidak ada negeri," katanya.

Beliau berkata, segala tindak tanduk Amerika itu melekat pada hati manusia dan boleh jadi serangan ke atas New York dan Washington adalah akibat dari tindakan Amerika sebelum ini.

Menurutnya juga, serangan Amerika dan sekutunya ke atas Kabul dan Kandahar di Afghanistan tetap dilancarkan walaupun terdapat bantahan masyarakat Islam di seluruh dunia, disebabkan negara itu (Afghanistan) tidak ada penyokong dan tidak ada pembantu.

"Mungkin juga Amerika dan sekutunya mengambil peluang daripada kemiskinan orang (Afghanistan) untuk tunjukkan kehandalannya," tambahnya.