42% bumi Kelantan dipenuhi hutan simpan kekal


MACHANG, 9 Okt - Kelantan mempunyai kawasan hutan simpan kekal seluas 629,687 hektar atau 42 peratus daripada keluasan negeri, kata Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, keluasan itu sekiranya dicampur dengan kawasan ladang menjadikan kawasan berpokok di Kelantan sekarang seluas 894,271 hektar atau 60 peratus.

"Ini sebenarnya adalah di atas paras komitmen Malaysia keseluruhannya, bila mana negara ini memberi komitmen untuk memastikan sekurang-kurang 50 peratus keluasan bumi sebagai berhutan," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Perhutanan Peringkat Negeri Kelantan di Hutan Lipur Bukit Baka, di sini, 8 Oktober.

Sehubungan itu, beliau berkata, kepupusan hutan dari sehari ke sehari di negeri ini dapat diselesaikan melalui kesedaran rakyat. Katanya, kesedaran itu juga berdasarkan kepada maklumat sempena sambutan ulangtahun ke-100 Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang diadakan.

"Saya telah ingatkan berkali-kali jangan tebas, tebang hutan tanpa sebarang peraturan.
"Ini menganiaya kepada mahkluk Allah, anak kayu pun hendak hidup juga, tahu-tahu manusia tebang dan bakar tanpa sebarang peraturan," katanya kepada pemberita selepas itu.

Menurutnya, dengan adanya perayaan Hari Perhutanan kesedaran untuk menghormati pokok dalam hutan akan meningkat.

Beliau juga berkata, kerajaan Kelantan mempunyai skim tertentu untuk membantu pengilang bumiputera yang mempunyai projek hiliran. Katanya, setiap skim kerajaan negeri akan memberi seluas 100 hektar untuk insentif ransangan dengan syarat, mereka tidak membazir kayu yang dipotong.  "Kayu yang dipotong boleh digunakan semula untuk kegunaan lain," katanya..