Negara Islam: Umno promosi produk cetak rompak


MACHANG, 9 Okt  - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam oleh pemimpin Umno seumpama mempromosi produk cetak rompak.
Katanya, dibimbangi apa dilakukan pemimpin Umno tersebut sebagai satu usaha untuk mempromosi produk cetak rompak .
"Saya takut pengisytiharan yang dilakukan sebagai promosi produk cetak rompak," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Perhutanan Peringkat Negeri Kelantan dan Ulangtahun ke-100 Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di Bukit Baka di sini, 8 Oktober.

Hadir sama di majlis itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato' Zul Mukhshar Mohd Shaari dan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Haji Dahlan Taha.

Menteri Besar berkata, PAS sudah memperjuangkan untuk mewujudkan negara Islam sejak 50 tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, usaha PAS tersebut mendapat tentangan daripada Umno sejak tempoh tersebut.

"Sejak 50 tahun Umno menyerang PAS kerana PAS hendak mendaulat sistem pemerintahan berasaskan Islam dalam masyarakat majmuk. Pelaksanan itu kita kata boleh, dia (Umno) kata tidak boleh dan sekarang dia kata boleh pula,
"Biar pun begitu sudah berapa banyak pula (orang PAS) menjadi mangsanya, termasuk kes Memali dan Lubuk Merbau.
"Begitu juga dengan kes diskriminasi, pulau-memulau, kafir-mengkafir sudah 50 tahun berlaku.. di mana Umno serang PAS dan sekarang kata boleh pula Islam dilaksanakan (negara Islam)," katanya.

Baru-baru ini, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad berulang kali mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Kenyataan itu disokong semua pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk daripada MCA dan MIC.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, beliau perlu berhati-hati mengenai isu tersebut kerana turut bimbang pengisytiharan yang dibuat pemimpin Umno akan ditarik balik pada masa akan datang.

"Saya sebagai ketua parti perlu berhati-hati dan tidak boleh membuat kesimpulan dengan apa yang berlaku sekarang," katanya.