BERITA NASIONAL


Pas Kaji Dakwa RTM Kerana Tayangan Insiden Memali
 
 
KUALA LUMPUR, 9 Feb  -- Pas telah mengarahkan biro guamannya supaya mengkaji kemungkinan mengambil tindakan mahkamah terhadap RTM dan Kementerian Penerangan kerana menyiarkan peristiwa Memali menerusi TV1 sejak akhir bulan lepas.

"Bagaimana RTM boleh menayangkan klip video peristiwa Memali sedangkan kes tersebut masih di mahkamah dan polis sendiri sebelum ini meminta supaya insiden itu tidak dibangkitkan semula," kata Presiden Pas Datuk Fadzil Noor pada sidang media di Markas Pas di Taman Melewar di sini Sabtu.

Katanya tindakan RTM membangkitkan insiden Memali itu tidak akan menyumbang kepada perpaduan negara, sebaliknya ia menimbul kebencian rakyat terhadap kerajaan.

Peristiwa di Kampung Memali, Baling, Kedah pada 19 Nov, 1985 meragut 18 nyawa, termasuk empat anggota Polis, berpunca daripada tindakan polis menyerbu kampung berkenaan dan rumah Ustaz Ibrahim Libya untuk menangkap beliau dan penyokong-penyokongnya.

Fadzil juga berkata Pas negeri Kedah merancang mengambil tindakan sivil terhadap polis kerana menggunakan kekerasan semasa menangkap 49 penyokong parti itu termasuk tiga pemimpinnya pada satu ceramah di markas Pas Kampung Banggol Chicar, Kupang di Baling pada 31 Jan lepas. Beberapa orang pimpinan PAS termasuk YB Mohamad bin Sabu (Ahli Parlimen Kuala Kedah), YB Ust. Moha Taib Azamudden (Ahli Parlimen Baling) dan YB Ust Suhaimi Ahmad, ADUN Kupang ditahan semasa ceramah tersebut.