Patung Burung, Konsert Artis: Siswazah desak Mufti keluar Fatwa

KOTA BHARU, 10 April- Usaha Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) menganjurkan perarakan patung burung Petalawati dan persembahan artis wanita di Istana Negeri, Kubang Kerian pada 12 April ini terus mendapat bantahan.

Pelbagai pihak tampil mendesak Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Hasbullah Mohd Hassan mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut yang disifatkan bercanggah dengan Islam dan dasar kerajaan negeri.

Hari ini (10 April), Markaz Siswazah Kelantan (MSK) menghantar memorandum bagi mendesak Mufti mengeluarkan fatwa bagi mengelakkan kekeliruan dan kerosakan aqidah umat Islam.

"Sehubungan itu, kami mendesak Dato' Mufti menggunakan kuasa sebagai Pengerusi Jemaah Ulama yang diperuntukan dalam Seksyen 33 (1) menasihat Majlis mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut," kata presidennya, Zamakhshari Muhamad selepas menyerahkan memorandum tersebut di Pejabat Mufti. Hadir sama pada majlis berkenaan, Setiausaha Agung MSK, Ustaz Harun Ismail, Pengerusi Hal Ehwal Wanita MSK, Ustazah Nik Muniaty Nik Din dan anggota jawatankuasanya.

Baru-baru ini, Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kelantan menghantar memorandum kepada Menteri Besar sebagai membantah perarakan patung burung Petalawati dan persembahan artis wanita di Istana Negeri.
Perarakan patung burung tersebut yang panjangnya sembilan meter dan tinggi 4.5 meter dari Tumpat ke Kubang Kerian diadakan pada 6 April lalu. Manakala perarakan besar-besaran dan persembahan artis akan diadakan 12 April ini yang dijangka turut dihadiri Sultan, Raja Perempuan, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin Umno.

Berdasar Seksyen 36 (1) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, memperuntukan mana-mana pihak secara bertulis boleh meminta Majlis mengeluarkan fatwa tentang apa-apa masalah berkaitan hukum syarak dan adat istiadat Melayu Kelantan.

"Apabila permintaan seumpama itu diterima, setiausaha hendaklah segera mengedarkan kepada Pengerusi Jemaah Ulama," kata Zamakhshari.

Menurutnya, MSK berharap keprihatinan, tindakan tegas dan segera untuk mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut bagi mempertahankan maruah Islam dan Sultan sebagai ketua agama.

Memorandum setebal dua muka surat itu juga menyebut perarakan patung burung Petalawati jelas mempunyai unsur-unsur syirik dan khurafat yang boleh memesongkan aqidah umat Islam.

Selain itu, persembahan hiburan akan menggalakkan pergaulan bebas, menyuburkan gejala maksiat dan menyebabkan keruntuhan moral umat Islam.

Memorandum tersebut juga menyebut tindakan pihak yang menganjurkan kedua-dua program berkenaan di Istana Negeri cuba berselindung di sebalik sambutan Hari Keputeraan bagi menimbulkan keaiban yang amat sangat ke atas maruah Sultan sebagai ketua agama.