Petalawati metos pujaan penganut Buddha

KOTA BHARU, 10 April - Metos burung Petalawati yang dianggap mempunyai kuasa dan mampu melindungi sesebuah negeri jelas berunsur khurafat dan syirik. Burung itu dipuja oleh penganut agama Buddha dan Hindu yang dianggap mempunyai kuasa menjaga alam.

Mengikut cerita orang tua-tua, orang Melayu zaman lampau begitu mempercayai burung berkenaan sehingga dianggap mempunyai kuasa ajaib. Malah, orang zaman lampau mencipta patung burung Petalawati dengan digambarkan sedang menelan bumi, bagi menggambarkan burung itu berkuasa menjaga dunia. Dan burung tersebut juga dikatakan mempunyai kuasa untuk melindungi negeri Kelantan.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata, burung Petalawati dianggap mempunyai kuasa menjaga bumi dan naga pula mengawal bulan serta matahari.

"Bulan akan kelihatan gerhana apabila naga yang menjaganya mengigit dan begitu juga matahari gerhana kerana digigit makhluk berkenaan.

"Inilah kepercayaan orang Melayu zaman lampau sehingga mereka menggambarkan burung berkenaan yang sebenarnya tidak pernah wujud sebagai mempunyai kuasa," katanya.

Menurut mereka, orang zaman lampau juga mempercayai burung geruda mengiringi pelayaran Sultan Mansur Shah untuk berkahwin dengan Puteri Hang Li Po di China.

Katanya, burung itu berkuasa untuk meniupkan angin bagi melayarkan kapal milik Sultan Melaka tersebut.
"Sebenarnya cerita-cerita seperti ini adalah khayalan semata-mata dan tidak pernah berpijak di bumi nyata.
"Malah cerita ini menjadi kepercayaan kepada penganut agama Buddha dan Hindu sehingga mereka memuja burung tersebut yang dianggap mempunyai kuasa menjaga alam," tambahnya.

Kisah burung Petalawati kini dihidupkan kembali di Kelantan apabila Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali mencipta patung burung tersebut untuk dipersembahkan kepada Sultan Kelantan. Patung tersebut dikatakan persembahan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang dipengerusikan Ibrahim, sempena sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan ke-52, baru-baru ini.

Patung burung tersebut diarak dari Geting, Tumpat ke Istana Negeri, Kubang Kerian menggunakan lori milik Kada sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk pada 6 April lalu.

Mengikut maklumat, sebanyak RM35,000 dibelanjakan bagi menyiapkan patung burung tersebut. Tukangnya didatangkan dari Pattani, Selatan Thailand.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah, Ustaz Mohamed Daud berkata, perarakan patung burung yang dianjurkan pihak terbabit adalah jelas mempunyai unsur-unsur khurafat dan syirik.
"Perbuatan itu termasuk dalam kategori memuja biarpun tanpa dilakukan perbuatan yang khusus," katanya.

Menurutnya, terdapat Hadis Nabi Muhamad saw yang menyebut, 'Orang yang paling dahsyat diseksa oleh Allah Taala di akhirat kelak ialah tukang yang membuat patung.'

Selain itu ada sebuah lagi Hadis yang bermaksud, 'Di akhirat kelak nanti, mana-mana pembuat patung akan dipaksa oleh Allah Taala supaya memasukkan roh ke dalam patung yang dicipta di atas dunia,'.

Beliau berkata, dua kesalahan yang jelas berlaku dalam kes berkenaan iaitu mencipta patung dan melakukan perarakan (berunsur pemujaan).

Jemputan untuk menyaksikan perarakan patung burung tersebut dibuat secara terbuka melalui surat edaran oleh Ibrahim kepada orang ramai, baru-baru ini. Surat terbuka tersebut berbunyi, 'Jangan lepas peluang bersama meraikan perayaan sempena ulangtahun Sultan Kelantan ke-52 pada malam 12 April jam 8 malam dengan perarakan burung Petalawati.

Ditanyai mengenai dakwaan patung yang terdapat pada simpanan di Muzium Negeri beliau berkata, perkara itu memang tidak digalakkan oleh Islam. Bagaimanapun katanya, patung-patung tersebut disifatkan sebagai bahan sejarah dan bukan tujuan untuk perarakan dan dipuja.

"Patung-patung yang terdapat di muzium negeri hanya sekadar untuk ditonton sebagai bahan sejarah dan bukan dipuja atau dibuat untuk perarakan," katanya.