MEMORANDUM DARIPADA

MARKAS SISWAZAH KELANTAN (MSK)

KEPADA

YBHG. SOHIBUS SAMAHAH DATO’ HAJI ABDULLAH BIN MOHAMMAD HASSAN
MUFTI KERAJAAN NEGERI KELANTAN


"Dimulakan dengan BismiLLah"

MEMORANDUM ini adalah daripada Markaz Siswazah Kelantan (MSK) kepada YBhg. Sohibus Samahah Dato’ Haji Abdullah bin Mohammad Hassan, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan.

Dengan penuh hormat dan takzimnya MSK ingin menarik perhatian serta tindakan tegas YBhg. Sohlbus Samahah Dato' Mufti berhubung dengan beberapa isu  yang berkaitan dengan kesucian agama Islam yang berlaku di Kelantan akhir-akhir ini.

  • Satu perarakan patung berhala burung Petalawati yang telah diadakan pada 6hb. April 2002 yang lalu dan dirancang akan diadakan secara besar-besar pada 12hb. April 2002 oleh pihak tertentu.
  • Acara persembahan hiburan oleh beberapa orang  artis wanita terkenal tanah air yang jelas bertentangan dengan syariat Islam dan dasar Kerajaan Negeri.

MSK  yang mewakili Siswazah-siswazah dan Mahasiswa-mahasiswa Kelantan sangat prihatin terhadap perkara ini kerana :

  • Perarakan patung berhala burung Petalawati tersebut jelas mempunyai unsur-unsur syirik dan khurafat yang boleh memesongkan aqidah umat Islam.
  • Persembahan hiburan tersebut akan menggalakkan pergaulan bebas, gejala maksiat, serta keruntuhan moral umat Islam.
  • Tindakan golongan tersebut yang menganjurkan kedua-dua program ini di Istana Negeri dan berselindung di sebalik sambutan Hari Keputeraan ke Bawah Duli Al Sultan Kelantan menimbulkan keaiban yang amat sangat  dan menjatuhkan maruah serta martabat Ke Bawah Duli Al Sultan sebagai Ketua Agama bagi negeri ini.

Menyedari hakikat ini, berdasarkan Sekysen 36 (1) Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994, yang memperuntukan bahawa mana-mana orang dengan secara bertulis boleh meminta Majlis mengeluar Fatwa tentang apa-apa masalah tentang Hukum Syara’ atau Adat Istiadat Melayu Kelantan, dan apabila permintaan seumpama itu diterima, Setiausaha hendaklah segera mengedarkannya kepada Pengerusi Jamaah Ulama.

Maka pihak kami bertindak berdasarkan seksyen tersebut mendesak agar pihak YBhg. Sahibul Samahan Dato’ Mufti  mengeluarkan fatwa mengenai perkara berkenaan demi mengelakkan kekeliruan dan kerosakan aqidah umat Islam.

Sehubungan dengan itu, pihak kami mendesak YBhg Sahibul Samahan Dato Mufti agar menggunakan kuasa sebagai Pengerusi Jamaah Ulama’ yang diperuntukan dalam Seksyen 33 (1) enakmen yang sama bagi menasihat Majlis untuk mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut.

MSK dengan ini mengharapkan satu keprihatinan dan tindakan yang tegas serta segera daripada YBhg Sahibul Samahan Dato’ Mufti  untuk mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut sebelum program itu diadakan, demi mempertahankan maruah Islam dan nama baik Ke Bawah Duli Al Sultan sebagai Ketua Agama Negeri Kelantan.

Dengan hormat dan ikhlas kami yang bertanda tangan di bawah adalah mewakili pendirian seluruh Siswazah dan Mahasiswa Negeri Kelantan yang cintakan Islam .

             Tandatangan
ZAMAKHSHARI MUHAMAD
PRESIDEN
MARKAS SISWAZAH KELANTAN

            Tandatangan
USTAZ HARUN BIN ISMAIL
SETIAUSAHA AGONG
MARKAS SISWAZAH KELANTAN

             Tandatangan
USTAZAH NIK MUNIATY BINTI NIK DIN
PENGERUSI HAL EHWAL WANITA
MARKAS SISWAZAH KELANTAN


Bertarikh: 27 Muharram 1423/10 April 2002