Pindaan
Dihasrat Jutaan Rakyat Kelantan

PASIR MAS, 10 Julai (Hrkh) - Lebih sejuta rakyat Kelantan mahu pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar tanpa sebarang masalah seperti berlaku di negeri-negeri lain. Oleh itu, pindaan perlembagaan negeri yang membabitkan kuasa-kuasa raja dibuat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) 25 Jun lalu adalah untuk memastikan hasrat tersebut menjadi kenyataan.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Zaki Ibrahim berkata, pindaan yang diluluskan Dun Kelantan itu adalah untuk meletak sultan bertakhta di atas daulat rakyat. "Kita mahu pastikan daulat raja bertambah dengan sokongan padu rakyat Kelantan," katanya pada ceramah di Kampung Slow Machang, dekat sini, baru-baru ini. Beliau juga berpandangan daulat sultan akan bertambah lagi, sekiranya apa yang dihasratkan majoriti rakyat ditunaikan.

Dun Kelantan 25 Jun lalu meluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Pertama) 2001. Kesemua anggota Dewan yang hadir berdiri seorang demi seorang sebagai tanda menzahirkan sokongan penuh terhadap pindaan tersebut.
Bagaimanapun dua Adun daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohd Saufi Deraman (Galas) tidak hadir tanpa sebarang notis. Mereka juga mendakwa persidangan itu tidak sah kerana tidak mendapat perkenan sultan. Namun telahan mereka ternyata meleset sama sekali apabila pihak kerajaan negeri menjelaskan pindaan tersebut sudah diperkenankan sultan melalui sepucuk surat bertarikh 16 Jun lalu.

Pengerusi KeADIlan Kelantan, Ustaz Mohamad Mustafa berkata, partinya menyokong penuh apa yang dilakukan kerajaan negeri untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan di atas landasannya.

"Kerajaan Kelantan adalah sebahagian daripada juzud kerajaan Pusat. "Dan perkara yang dilakukan kerajaan Kelantan dalam isu pindaan adalah untuk menyelaras dengan apa yang pernah dibuat di peringkat Pusat pada 1994.  "Oleh itu kita berharap pihak istana memperkenankan pindaan tersebut yang mencerminkan kehendak majoriti rakyat di negeri ini," katanya yang juga anggota parlimen Peringat.

Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Buniyamin Yaakub berkata, bekas Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah begitu resah sekali dengan situasi yang berlaku di Kelantan sekarang.
Katanya, Ku Li pernah bermati-matian mempertahankan institusi raja-raja Melayu ketika menerajui Semangat 46.  Bagaimanapun beliau berkata, perjuangan Semangat 46 tidak kekal lama kerana Ku Li membubar partinya sendiri yang berjuang mempertahankan institusi itu.

"Ku Li mungkin menyesal membubarkan Semangat 46 kerana perjuangan mempertahankan institusi raja-raja Melayu tidak dapat diteruskan lagi," kata beliau.  Menurutnya perjuangan Ku Li sekarang sudah menyimpang dari matlamat itu memandangkan dia kini bersama Umno, di mana parti berkenaan sudah melakukan pindaan berkaitan kedudukan raja-raja Melayu sejak 1994 lagi.

Sementara itu, di KUALA KRAI, Adun Mengkebang, Ustaz Ibrahim Mahmood berkata, Ku Li perlu mengubah rentak pemikiran sekiranya mahu dihormati rakyat di negeri ini.
"Ku Li usah cuba mencetus suasana untuk mengeruhkan hubungan harmonis sedia ada di negeri ini sekarang," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Krai.

Menurutnya, keadaan lebih malang lagi bagi Ku Li apabila memilih regunya Dato' Paduka Ibrahim Ali yang jelas ditolak majoriti rakyat.  Beliau berkata, apa yang dilakukan Ku Li dengan gadingan barunya, Ibrahim tidak mendapat sokongan rakyat, apabila banyak program yang dianjurkan menentang pindaan perlembagaan kurang mendapat sambutan.

Pada 25 Jun lalu, kira-kira 50 orang hadir pada perhimpunan membantah pindaan perlembagaan negeri di Jalan Sultan Ibrahim, biarpun diwar-warkan ribuan rakyat dijangka hadir.
Begitu juga pada malam 2 Julai lalu, sekali lagi Ibrahim di atas nama Majlis Tindakan Rakyat Kelantan menganjurkan perhimpunan di padang Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Garong 2, namun tidak ramai yang hadir.

Anggota parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, pindaan yang dilakukan di Dun Kelantan pada 25 Jun lalu mendapat restu Peguam Negara sebagai orang yang paling bertanggungjawab di atas undang-undang di negara ini.

"Peguam-peguam lain tidak perlu bising kerana pindaan yang diluluskan sidang Dun mendapat restu Peguam Negara.

"Mereka bising di televisyen memandangkan untuk berceramah mengenai isu tersebut di tempat terbuka, tidak mendapat sambutan orang ramai," tambahnya ketika berceramah di Sungai Sok dekat sini, malam 8 Julai lalu.

Mohd Amar yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Rais Yatim perlu bertindak rasional seiring apa yang dilakukan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, meluluskan pindaan perlembagaan membabitkan kuasa-kuasa raja sejak 1994.
Oleh itu, katanya, sebagai seorang menteri dia perlu mencari jalan memastikan pindaan yang dilakukan di Kelantan ditandatangani sultan.

"Bagaimanapun keadaan terbalik berlaku sekarang apabila dia bercakap sekiranya sultan tidak menandatangani pindaan itu, ia akan menjadi sia-sia.
"Sebagai menteri dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia bertentangan dengan usaha yang dilakukan Umno sebelum ini," katanya.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan