Wakil Rakyat Ziarah keluarga dibaham harimau

JELI, 10 Julai (Hrkh) - Keluarga mangsa yang dibaham harimau di Kampung Relak, Kuala Balah dekat sini, Ahad lalu turut mendapat simpati wakil-wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Anggota Exco, Ustaz Abdullah Ya'kob yang juga Adun Ayer Lanas, Adun Pergau, Ustaz Razak Abdullah dan anggota parlimen Jeli, Haji Apandi Mohamad menemui keluarga mangsa pada hari kejadian berlaku untuk bertanya khabar dan menghulur bantuan peribadi.

Mangsa, Mohd Zaid Abdul Manaf, 31 ditemui mati dengan kepala dan tangan putus akibat dibaham harimau ketika sedang menoreh di kebun getah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.
Kesan luka dan calar kelihatan di seluruh badan mangsa, manakala tengkorak kepalanya ditemui pecah tidak jauh dari mayatnya ditemui pada petang hari kejadian berlaku.  Kepala mangsa terputus daripada badan pada paras leher, kemudiannya dihantar ke Hospital Tanah Merah pada petang Ahad lalu, selepas sekumpulan penduduk dengan bantuan polis dan Rela menemui mangsa di kebun getahnya.

Ustaz Abdullah berkata, beliau bersimpati terhadap peritiswa malang yang berlaku ke atas keluarga mangsa dan berharap isterinya, Pazimah Che Endok, 28 bersabar menghadapi dugaan tersebut.
"Saya berharap keluarga mangsa bersabar menghadapi dugaan itu dengan hati yang tabah," katanya
Menurutnya, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka melawat keluarga mangsa sekembali dari Kuala Lumpur beberapa hari lagi.

Menteri Besar sekarang menghadiri mesyuarat bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri di Kuala Lumpur. Selepas itu beliau akan mengiringi Sultan Kelantan bagi menghadari mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

Ustaz Abdullah juga menasihat penduduk kampung di Kuala Balah lebih berhati-hati ketika keluar menoreh bagi mengelakkan kejadian malang terus berulang.
Gerakan mengesan harimau sedang dijalankan penduduk kampung, polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan kejadian. Mangsa meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang belum lagi bersekolah.

Pada tahun lalu, seorang penduduk di Kuala Balah turut menjadi mangsa akibat dibaham harimau. Menteri Besar bersama anggota Exco dan wakil rakyat menziarahi keluarga mangsa beberapa hari selepas kejadian berlaku.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang lagi penduduk dari Kampung Pasir Dusun, Ayer Lanas meninggal dunia akibat ditimpa batang balak ketika sedang menebang di hutan Sungai Ruai juga pada hari Ahad.

Mangsa yang dikenali sebagai Ismail adalah menantu kepada Raja Ibrahim Raja Ismail iaitu wakil peribadi anggota parlimen Jeli di Dun Ayer Lanas.
Ustaz Abdullah bersama Haji Apandi dan Ustaz Razak turut melawat keluarga mangsa terbabit pada petang hari kejadian.

Malah, Haji Apandi turut berada di Hospital Tanah Merah bagi mengurus kedua jenazah terbabit sehingga dibawa pulang ke rumah masing-masing. Pembantu anggota parlimen Jeli, Saiful Ismail berkata, jenazah Ismail dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Pasir Dusun kira-kira jam 3 pagi, 9 Julai lalu. Begitu juga jenazah Mohd Zaid dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Relak, awal pagi tarikh yang sama.


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan