Kelantan punggut RM53 juta hasil hutan

MACHANG, 9 Okt  - Kerajaan Kelantan berjaya memunggut hasil hutan  sebanyak RM53 juta sepanjang tahun lepas dan ia merupakan penyumbangkan terbesar kepada pendapatan negeri.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hasil hutan masih lagi merupakan sumber ekonomi utama bagi Kelantan.

"Adalah dijanga sumber hutan memain peranan sebagai penyumbang utama kepada kerajaan negeri bagi tempoh jangka panjang.

"Oleh itu, saya ingin menyeru kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan Kelantan agar mempertingkatkan lagi profesionalisme perhutanan melalui peningkatan ilmu," katanya ketika merasmikan perayaan 100 tahun Jabatan Perhutanan Semanjung Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Hutan Lipur Bukit Baka, di sini, 9 Oktober. 

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sedar melaksanakan tangggungjawab memulihara hutan untuk memastikannya terus kekal.  "Dalam hal ini kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha pembangunan hutan untuk mempertingkatan lagi keupayaannya.  "Oleh itu, sejumlah RM8 juta telah dibelanjakan pada tahun lepas melalui Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan peruntukan pembangunan negeri.

"Pada tahun ini sejumlah RM8 juta lagi diperuntukan untuk menjalankan aktiviti pembangunan hutan," tambahnya.
Menurutnya, bagi Rancangan Malaysia Kelapan sejumlah RM106 juta akan dibelanjakan bagi aktiviti dan projek pembangunan hutan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga peka kepada kepentingan alam sekitar, di mana tidak dibenarkan membalak di kawasan yang ketinggian lebih daripada 1,000 meter. Manakala aktiviti yang dijalankan di kawasan yang melebihi 500 hektar perlu mendapatkan laporan kesan alam sekitar.

Selain itu, beliau berkata, bagi memantapkan lagi pengurusan hutan secara berkekalan kerajaan negeri bersetuju pada dasarnya untuk mewartakan sebahagian hutan simpanan kekal sebagai hutan perlindungan mengikut seksyen 10(1) Akta Perhutanan Negara.

Kawasan hutan simpan kekal yang diwartakan di Kelantan sekarang seluas 629,687 hektar. Daripada keluasan tersebut seluas 146,159 hektar atau 23 peratus  dikenalpasti untuk diwartakan sebagai hutan perlindungan. Kawasan berkenaan iaitu hutan tadahan air seluas 51,198 hektar, hutan perlindungan tanah (89,842 hektar), hutan simpanan dara (2,238 hektar), hutan penyelidikan (2,108 hektar) dan hutan lipur (773 hektar).

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga bersetuju pada dasarnya untuk menerima pelaksanaan pensijilan hutan sejajar dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Perhutanan Negara. Katanya, hutan di Kelantan sangat kompleks dan unik yang memiliki berjuta jenis tumbuhan dan hidupan liar.
 
"Dalam hal ini cadangan Jabatan Perhutanan Kelantan untuk menjadikan untuk menjadikan hutan simpanan Ulu Sat yang seluruhnya seluas 14,432 hektar sebagai pusat demontrasi pelbagai guna turut disokong.

"Kerajaan negeri juga bersetuju bagi mengadakan sistem skim kilang papan di mana kilang bumiputera akan diberi kawasan seluas kerja seluas 100 hektar bagi setiap kilang sebagai langkah sementara membantu pengilang," tambahnya.

Di samping itu, kata beliau, kilang bumiputera yang  mempunyai industri hiliran juga akan dipertimbangkan untuk diberi kawasan tambahan seluas 100 hektar lagi.

Menteri Besar juga mencadangkan nama Jabatan Perhutanan ditukar nama kepada Jabatan Pemelihara, Pengurusan dan Pembangunan Hutan.

"Ini akan memberi nafas dan semangat baru kepda pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan untuk mempertingkatkan lagi pengurusan hutan," katanya. 
 
Sementara itu, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato' Zul Mukhshar Mohd Shaari berkata, sektor perhutanan terus memain peranan penting sebagai penyumbang positif kepada pendapatan negara.
Katanya, pada tahun 2000 sektor perhutanan berjaya mencatat nilai eksport berjumlah RM17.7 bilion yang merupakan lima peratus daripada jumlah eksport negara.

"Pencapaian sektor perhutanan pada tahun 2000 memang amat menggalakkan terutamanya sewaktu ekonomi dunia masa kini agak lembap," katanya.

Beliau juga berkata, aktiviti pembalakan Kelantan dijalankan mengikut ketetapan dibuat Majlis Perhutanan Negara.
"Perkembangan dua tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan aktiviti pembalakan yang dijalankan semua negeri di negara ini mengikut ketetapan Majlis Perhutanan Negara," katanya.