Usaha lemahkan PAS tidak mungkin berjaya

PENGKALAN CHEPA, 10 Sept  - Mursyidul Am PAS mengingatkan Umno dan Barisan Nasional (BN), usaha mereka untuk melemahkan perjuangan Islam di negara ini tidak akan berjaya. Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mereka jangan fikir apabila perjuangan Islam melalui PAS dilarang, agama Islam tidak boleh lagi berkembang.

"Malah ketika itu akan timbul lebih banyak lagi gerakan-gerakan rakyat untuk mendaulatkan Islam di negara ini.
"Mereka jangan anggap Islam terus lemah dengan ketiadaan PAS kerana Islam akan bangkit lebih hebat lagi apabila pergerakan dan perjuangan mereka disekat dan dihalang," katanya pada ceramah perdana sempena penutup program sambutan Jubli Emas PAS peringkat Pusat di Putik di sini, Ahad lalu.

Puluhan ribu rakyat Kelantan dan pendokong perjuangan Islam dari seluruh negara mengikuti ceramah tersebut sebagai mengakhiri sambutan Jubli Emas yang bermula 7 September lalu.  Ruang dalam Dewan Putik terpaksa ditutup awal lagi kerana sudah limpah dengan lautan manusia. Manakala di sekeliling kawasan dewan itu dipenuhi dengan ribuan pendokong Islam. Jalan raya ke Putik sudah sesak sejak petang lagi.  Ceramah perdana tersebut turut menampilkan Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dan Timbalan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Hadi Awang.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, usaha Umno dan BN untuk menghalang perjuangan PAS sudah kelihatan apabila mereka melabelkan parti itu dengan pelbagai tuduhan.

Baru-baru ini, akhbar Harakah mendedahkan tuduhan militan yang dilemparkan terhadap PAS adalah di antara usaha dilakukan Umno untuk mengharamkan PAS.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Azizan Abdul Razak dilaporkan berkata, perkara itu pernah berlaku di Mesir, Algeria, Maghribi, Syria, Iraq dan Turki di mana apabila gerakan Islam mendapat dokongan rakyat maka pemerintah di negara terbabit akan menangkap dan menuduh sebagai militan.

"Kirim salam sahaja kepada Umno supaya mereka jangan buat perkara seperti itu," katanya.
Menurutnya, sifir khianat tidak ada dalam Islam kerana setiap tindak tanduk dilakukan mengikut tatacara tersendiri.

Sebelum ini, Umno dan BN menahan pemuda PAS di bawah tahanan ISA kononnya terbabit dengan gerakan bawah tanah untuk menggulingkan kerajaan. Antara mereka yang ditahan termasuk anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz, 34.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, Umno hanya menggunakan akal dalam setiap tanduk mereka dan tidak berpandu kepada nas al Quran dan Hadis sebagai panduan.

Dato' Haji Fadzil berkata, Umno sekarang akan menentang apa sahaja yang dilabelkan di atas nama Islam. Katanya, sebab itu sekarang mereka sedang mencari apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam untuk ditindas termasuk persatuan pelajar Islam di universiti.

"Sebenarnya Umno dan BN bukan menentang PAS tetapi menentang Islam itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Dato' Seri Tuan Guru Hadi berkata, Umno sebenarnya banyak berdalih mengenai isu negara Islam kerana konsep negara tersebut sudah dimuatkan ke dalam kitab sejak ratusan tahun lalu. Katanya, pemimpin Umno sahaja yang tidak tahu mengenai kitab tersebut.

"Sedangkan ada ratusan kitab yang menjelaskan mengenai negara Islam seperti yang diperjuangkan PAS sekarang," katanya.
Ketika merasmikan Jubli Emas PAS, Jumaat lalu, Dato' Haji Fadzil meminta Dr Mahathir mengumumkan secara rasmi Malaysia sebagai negara Islam di parlimen. Sedangkan sebelum itu, pemimpin Umno mengumumkan Malaysia sebagai negara Islam.