Manifesto BA masih relevan - Wan Azizah

PENGKALAN CHEPA, 11 Sept.  - Presiden Parti KeADILan Malaysia, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail menyifat manifesto Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya umum lalu cukup relevan untuk masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, manifesto tersebut menepati kehendak parti-parti dalam gabungan BA merangkumi semua aspek iaitu agama, ekonomi dan politik.

"Kami tetap mempertahankan manifesto tersebut, kita tidak mengira walau apa kritikan yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang tidak suka dengan BA.

"Pihak berkenaan sentiasa mencari jalan untuk untuk memecahkan pakatan BA dengan mencipta pelbagai isu," katanya ketika ditemui pemberita di sini, petang 9 September.

Beliau sebelum itu hadir pada forum menjana kekuatan isteri pejuang sempena sambutan Jubli Emas PAS Pusat di Putik di sini.

Sehubungan itu, beliau berkata, BA akan melaksanakan sepertimana yang terkandung dalam manifesto tersebut.
Wan Azizah berkata demikian sebagai mengulas tuduhan Umno yang sering mempengaruhi rakyat dengan mengatakan bahawa manifesto yang dipersetujui BA tidak menepati kehendak rakyat.

Beliau berkata, musuh politik BA sentiasa merancang untuk mengagalkan pakatan tersebut kerana ia menjadi persaing terdekat kepada Barisan Nasional (BN).