1982 detik penting sejarah politik negara

KOTA BHARU, 11 Sept (Hrkh) - Peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara pada tahun 1982 merupakan detik penting memulakan episod baru arena politik negara ini.

Anggota parlimen Kubang Kerian, Haji Husam Musa berkata, pada tahun itu mencatat dua peristiwa penting iaitu kepemimpinan PAS berubah kepada era ulamak dan Anwar Ibrahim (Dato' Seri) yang bergiat dalam gerakan Islam mengumumkan menyertai Umno.
Katanya, kegemilangan PAS semakin bertapak mulai tahun tersebut apabila Dato' Asri Muda melepas jawatan sebagai Yang Dipertua PAS.

"Umno juga disuntik dengan unsur Islamisasi dengan kemasukan Anwar yang terkenal sebagai tokoh Islam.
"Kemasukan Anwar bersama Umno benar-benar mengejutkan banyak pihak, memandangkan sebelum itu, ketika berlangsung pilihan raya kecil di Bukit Raya, Anwar meminta rakan-rakan di universiti membantu calon PAS yang bertanding," katanya di sini.
Calon PAS yang bertanding pada pilihan raya tersebut iaitu Ustaz Fadzil Mohd Noor (Dato').

Haji Husam berkata, peristiwa politik yang berlaku pada tahun tersebut benar-benar merubahkan suasana politik dalam negara.
Menurutnya juga, wajah Umno juga turut berubah mulai tahun tersebut apabila polisi-polisi ke arah Islam mulai digarap oleh Anwar.
"Selepas kemasukan Anwar bersama Umno, idea-idea ke arah Islam mulai lahir termasuk Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia dan banyak lagi instrumen yang lahir di atas nama Islam," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, populariti Islam yang berada di dalam Umno semakin pudar dan terus lenyap selepas Anwar disingkir daripada parti tersebut pada 1997. Menurutnya, ruang Islam dalam Umno selepas tarikh tersebut menjadi kosong kerana tidak ada lagi tokoh yang sehebat Anwar mengislamisasikan parti itu.

"Tiada tokoh lain yang mampu untuk terus membawa imej Islam dalam Umno selepas ketiadaan Anwar.
"Umno kini benar-benar kosong dengan idea-idea ke arah pelaksanaan Islam," tambahnya.

Sementara itu, Senator Siti Zailah Mohd Yusof berkata, persiapan ilmu dan kemantapan organisasi adalah penting bagi PAS untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tanpa persiapan rapi sudah tentu kesukaran bagi kita berdepan dengan musuh politik yang sentiasa merancang melemahkan perjuangan Islam.

"Musuh menggunakan pelbagai kekuatan untuk menghancurkan perjuangan Islam.
"Biarpun negara kita sudah merdeka sejak 44 tahun lalu, namun Islam masih lagi dipinggirkan. Keadaan itu terbukti apabila orang Islam yang murtad semakin ramai sekarang," tambahnya.