Rekod buruk Umno dalam sejarah demokrasi

KOTA BHARU, 11 Sept - Timbalan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Umno mempunyai rekod yang paling buruk dalam sejarah demokrasi di negara ini.

Katanya, perkara itu terbukti apabila Umno mengalami banyak kekalahan pada pilihan raya umum tahun 1969, mereka dikatakan mempunyai hubung kait dengan peristiwa 15 Mei.

Begitu juga selepas tewas di Terengganu pada pilihan raya umum 1999, Umno dan Barisan Nasional (BN) tetap mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

"Sedangkan pelantikan itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ini sudah jelas menggambarkan Umno menentang demokrasi itu sendiri," katanya, di sini.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata, apa mereka yang dilakukan Umno sebelum ini sudah cukup membuktikan parti itu tidak menerima hakikat pilihan raya serta proses demokrasi di negara ini.

Katanya, Umno mengadakan pelbagai fitnah serta membangkitkan isu-isu sensitif untuk menakutkan orang ramai di negara ini terhadap perjuangan PAS.

"Paling ketara mereka menimbulkan isu sensitif khususnya penubuhan negara Islam bagi mengurangkan sokongan bukan Islam terhadap PAS," ujarnya.

Oleh itu, kata beliau apabila Umno mendapat tahu pakatan BA berjaya menarik simpati rakyat, mereka mula merancang untuk menakutkan bukan Islam terhadap PAS dengan mencetus isu negara Islam.
"Sedangkan isu negara Islam tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia terdapat dalam al-Quran serta kitab-kitab yang dikarang oleh ulamak terdahulu," katanya.