Laman web Pemuda PAS Kelantan johan

KOTA BHARU, 11  -  Lawan Web Dewan Pemuda PAS Kelantan (dppkelantan.parti-pas.org) menduduki tempat pertama bagi kategori pertandingan laman web dewan-dewan sempena sambutan Jubli Emas PAS Pusat.

Selain itu, Badan Perhubungan PAS Kelantan turut menduduki tempat pertama dalam pertandingan laman webnya bagi kategori Badan-Badan Perhubungan PAS negeri.

Manakala PAS Kawasan Parit Buntar Perak mendapat tempat pertama bagi kategori Pertandingan Laman Web dan Forum Maya dan tempat kedua PAS Kawasan Serdang, Selangor.

Bagi pertandingan pameran pula, PAS Terengganu menduduki tempat pertama, Kelantan di tempat kedua dan Perak (ketiga).
Dengan kemenangan itu, PAS Terengganu memperolehi wang tunai sebanyak RM5,000 serta sijil penghargaan, manakala Kelantan (RM3,000) dan Perak (RM2,000), di samping sijil penyertaan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima hadiah dari Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Nor, manakala Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh mewakili Kelantan dan Ustaz Ahmad Awang mewakili Perak menerima hadiah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pameran Jubli Emas PAS, Haji Husam Musa merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu. Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan setiap negeri mampu mengadakan galeri PAS masing-masing.

"Kita berharap PAS setiap negeri dapat mengumpulkan lagi bahan-bahan sejarah penubuhan PAS untuk bahan rujukan khususnya generasi hari ini dan akan datang," ujarnya.