Penafian Pengerusi Umno Kelantan memalukan

KOTA BHARU, 11 Okt  - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap penafian Dato' Mustafa Mohamed kononnya Umno tidak terbabit dengan perhimpunan di Balai Besar anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) baru-baru ini, sebagai memalukan.

Katanya, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu sendiri hadir pada perhimpunan tersebut dan menyebut dirinya mewakili Badan Perhubungan Umno Kelantan sebanyak empat kali pada ucapan di majlis berkenaan.
 
"Sedangkan dalam ucapannya beliau menyebut pemimpin yang hadir terdiri daripada ketua-ketua bahagian Umno. Beliau sendiri berucap dan empat kali sebut perkataan Badan Perhubungan Umno pada majlis berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, 10 Oktober.

Baru-baru ini, MTRK menganjurkan perhimpunan di Balai Besar iaitu tempat berlangsung adat istiadat pengurniaan pingat, yang diturut dihadiri pemimpin-pemimpin Umno termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato' Ibrahim Ali. Sultan dan Raja Perempuan Kelantan juga turut hadir.

Pada majlis itu, Mustafa yang mewakili Badan Perhubungan Umno Kelantan menyatakan ikrar dan taat setia kepada Sultan dan Raja Perempuan atas apa juga tenaga yang ada. Ucapannya yang menyebut perkataan, pihak Badan Perhubungan Umno Kelantan dan ahli jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional negeri diulang sebanyak empat kali.

Bagaimanapun dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bertarikh 7 Oktober lalu menafikan Umno terbabit pada perhimpunan anjuran MTRK itu.  Beliau dipetik sebagai berkata, hanya ahli Umno yang terbabit dalam perhimpunan itu dan bukan Badan Perhubungan Umno Negeri.
 
Bagaimanapun Menteri Besar mempersoalkan penafian itu kerana Mustafa menyebut beliau mewakili Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Barisan Nasional sebanyak empat kali sepanjang ucapannya di majlis berkenaan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, pindaan perlembagaan negeri telah dilulus dengan sokongan kesemua anggota Dewan Undangan Negeri yang hadir, kecuali dua wakil rakyat BN tidak hadir. Katanya, kedua-dua wakil rakyat BN berkenaan terbabit dengan demontrasi anjuran MTRK di luar Dewan.

"Jadi.. bagaimana ada pihak mendakwa pindaan itu tidak sah, sedangkan Penasihat Undang-Undang Negeri sendiri turut hadir pada persidangan tersebut.

"Kalau rasa ragu-ragu bawalah kes tersebut ke mahkamah, mudah-mudahan keputusan itu dapat menjelaskan keadaan sebenar kerana perkara yang serupa dipinda di peringkat Persekutuan pada 1994," katanya.

Menurutnya, perkara yang dilakukan kerajaan negeri hanya untuk menyelaras dengan apa yang dibuat di peringkat Pusat, sebelum ini.
"Lojiknya kalau tidak puas hati, sila bawa ke mahkamah. Rakyat Kelantan sudah duduk molek, tidak usah lagi hendak ganggu," tambahnya.